ALOR GAJAH – Seorang pemuda menemui ajal di hadapan Klinik Kesihatan Kuala Sungai Baru dekat sini selepas motosikal ditunggangi terbabas merempuh tiang elektrik, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa, Abdul Syahri Ramadhan Abd. Rahim, 20, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS dalam perjalanan dari arah Masjid Tanah ke Kuala Sungai Baru.
“Setiba di jalan berselekoh, mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan melanggar kabel tiang elektrik di hadapan Klinik Kesihatan lama Kuala Sungai Baru.
“Akibat rempuhan itu mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan di sini, hari ini.
Tambahnya, hasil pemeriksaan pegawai penyiasat di lokasi mendapati, ketika kemalangan berlaku cuaca adalah baik, manakala jalan merupakan laluan satu lorong dua hala.
“Kita percaya kemalangan berlaku disebabkan faktor gagal mengawal kenderaan.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE.