ROMPIN – Seorang pembantu perubatan wanita maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Selendang-Rompin di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd. Azahari Mukhtar berkata, kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu berlaku ketika mangsa, Nur Natrah Daharuddin,26, yang memandu kereta jenis Audi RS3 dalam perjalanan dari bandar Rompin ke Selendang.
“Apabila sampai di tempat kejadian kereta dipandu mangsa terbabas dan memasuki lorong bertentangan seterusnya melanggar lori yang datang dari arah hadapan.
“Akibat pelanggaran menyebabkan pemandu kereta yang mengalami pendarahan di kepala dan patah kaki kanan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori mengalami luka di kepala,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya mayat mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi jalan lurus dan permukaan jalan adalah rata dan kering serta cuaca baik semasa kejadian.
“Siasatan masih giat dilakukan dan pihak polis masih berusaha mengesan saksi-saksi bagi membantu siasatan,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE.