BANDAR RAYA NEW YORK – Sepasang suami isteri warga China telah ditangkap dan didakwa di Amerika Syarikat (AS) atas pertuduhan berkomplot untuk menubuhkan sebuah negara mini di Kepulauan Marshall, Lautan Pasifik, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Siaran akhbar yang dikeluarkan Jabatan Kehakiman AS (DOJ) menyatakan bahawa Cary Yan, 50, dan Gina Zhou, 34, dituduh melakukan pengubahan wang haram dan melanggar Akta Amalan Rasuah Asing.
Cary dan Gina dilaporkan cuba memujuk wakil rakyat AS untuk menubuhkan Wilayah Separa Autonomi (SAR) di Kepulauan Marshall.
Pendakwa raya AS mendakwa bahawa pasangan itu menyamar sebagai pegawai dari sebuah pertubuhan bukan kerajaan di Bandar Raya New York (NYC).
“Defendan menawarkan dan memberikan beberapa siri rasuah beserta insentif lain untuk mendapatkan sokongan wakil-wakil rakyat untuk rang undang-undang mengenainya,” demikian menurut kenyataan DOJ.
Pasangan warga China itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.
Bermula pada 2016, pasangan China itu bertemu beberapa pegawai di New York untuk menubuhkan wilayah separa autonomi yang menyerupai Hong Kong.
Apabila laporan itu muncul, seorang bekas presiden Kepulauan Marshall meminta pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan yang membawa kepada penahanan pasangan tersebut.
Kepulauan Marshall adalah negara pulau di bawah naungan AS – Agensi