fbpx

Padi angin ‘rampas’ rezeki pesawah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Amir Izzat menunjukkan padi angin yang memenuhi sawahnya di Paya Sepayang di Rompin semalam.

ROMPIN – Semangat pesawah muda di Paya Sepayang di sini bagaikan luntur apabila hampir kesemua bendang yang diusahakan diserang padi angin hingga mengakibatkan mereka terpaksa menanggung kerugian besar.

Masalah yang tiada kesudahan itu bagaikan menjadi barah dalam kalangan pesawah kerana ia semakin teruk kerana padi ­angin akan bertambah setiap kali musim padi baharu.

Seorang petani muda, Mohamad Amir Izzat Abdul Manaf, 23, berkata, ekoran masalah itu segala tenaga dan pelaburan yang dilakukan dalam mengusahakan sawah padi menjadi sia-sia.

Katanya, selaku orang yang baru hendak berjinak-jinak de­ngan sawah padi, dia kecewa ekoran masalah itu kerana bendang ditumbuhi padi angin atau rumput.

“Ia melunturkan semangat saya. Kalau berterusan begini pasti golongan muda tidak mahu untuk bersawah kerana ia tidak menjanjikan masa depan cerah.

“Padi angin telah memenuhi lot sawah saya seluas 1.2 hektar. Pelbagai usaha telah dilakukan, namun ia bagaikan menyiram air di daun keladi kerana padi angin semakin banyak ditambah pula pelbagai penyakit disebabkan bakteria,” katanya di sini semalam.

Seorang lagi pesawah, Azman Mohamad, 59, berkata, masalah padi angin amat ketara selain daripada serangan penyakit se­perti bena perang yang memusnahkan padi.

“Masalah padi angin telah menyebabkan hampir sepetak sawah saya rebah dan tenggelam dan hanya 300 kilogram sempat dituai di sawah seluas 1.2 hektar berkenaan.

“Kali ini memang saya me­ngalami kerugian besar, penyakit juga menyerang padi meskipun hampir setiap minggu saya meracun,” katanya.

Sementara itu, Azrul Rizuan, 36, berkata, ketika ini tiada sebarang kaedah yang didapati berkesan untuk menghapuskan benih padi angin.

“Selagi tak diatasi, pesawah akan rugi,” katanya.

Justeru beliau berharap pihak kerajaan dapat menggunakan kepakaran yang ada bagi me­ngatasi masalah ini yang tiada berkesudahan.

“Dahulu ada benih padi kebal digunakan atasi padi angin, tetapi sekarang ia sudah tidak berkesan lagi, mungkin kena tanam dalam air, namun benih padi ­angin masih ada dan boleh tumbuh lagi terutama bila ditabur kering semula,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI