PETALING JAYA- Golongan ustaz yang sering ‘melaungkan’ kerja rumah adalah tanggungjawab suami, dikecam segelintir pihak dan dianggap bercakap tak serupa bikin.
Hantaran Facebook oleh pengguna akaun Su Han Wen Shu menggambarkan ketidakpuasan hati kerana tindakan tersebut boleh mewujudkan golongan isteri yang tidak reti bersyukur.
“Pagi ceramah kat Kodiang, petang kat Kluang, esok Sabak Bernam, minggu depan naik kapal terbang pergi ceramah kat Kundasang. Dah ustaz-ustaz ini pun sentiasa sibuk outstation, bila mereka buat kerja rumah? Cakap tak serupa bikin.
“Tak fikir kesan pada keluarga dan suami kepada golongan wanita ini yang bekerja keras di luar sana. Mereka tak sedar ceramah mereka ini melahirkan golongan isteri yang tak bersyukur dengan pengorbanan suami untuk mencari nafkah,” katanya.
Katanya, tiada masalah jika suami yang bekerja waktu pejabat untuk bantu kerja-kerja rumah namun sebaliknya bagi mereka yang kerja tidak tentu masa.
“Kalau suami kau kerja ofis aku fahamlah kalau kau minta suami tolong buat kerja rumah. Dah ni suami kau kerja kelindan lori, kerja gudang, kerja pemandu lori, angkat buah sawit, balik rumah punyalah barai pun kau nak ‘tag’ dia kat Facebook, suruh buat kerja rumah?
“Belum lagi suami yang siang kerja ofis, malam meniaga pasar malam, sebelum subuh jual kuih, pukul 9 pagi masuk ofis dan seumpamanya. Ustaz-ustaz yang ceramah benda macam ni seronoklah sebab ramai penonton mereka wanita,” tegasnya lagi.
Katanya, golongan penceramah begini tidak memikirkan kesan jangka masa panjang akibat daripada isi-isi ceramah mereka.
“Ironis juga ustaz-ustaz jenis ini selalu orang puji faqih, tapi tak pernah fikir kesan jangka panjang ceramah-ceramah mengarut mereka. Faqih apa bendanya macam tu?
“Aku bukan anti kerja rumah. Kat rumah aku jugalah yang jaga anak sakit, cuci pinggan, basuh, jemur lipat baju dan seumpamanya cuma aku tak suka trend ceramah macam ini.
“Ustaz-ustaz ini lupa, bukan semua pekerjaan di luar sana semudah ustaz-ustaz ini yang sekadar berceloteh di Masjid,” katanya. – KOSMO! ONLINE