PYONGYANG – Korea Utara telah meluluskan undang-undang yang membenarkannya memulakan serangan nuklear ke atas mana-mana negara yang mengancam kedaulatan Pyongyang.
Menurut laporan Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), undang-undang tersebut turut mengisytiharkan status Korea Utara sebagai negara bersenjata nuklear kekal.
Pengumuman itu dibuat di tengah-tengah krisis terbaharu antara Korea Utara dan Korea Selatan berkaitan senjata nuklear dan wabak Covid-19.
Undang-undang itu akan membenarkan Korea Utara memulakan serangan nuklear secara automatik dan segera ke atas mana-mana kuasa asing yang menimbulkan ancaman jelas terhadap negara tersebut.
“Susulan undang-undang baharu yang telah digubal, status negara kita sebagai negara senjata nuklear adalah kekal dan tidak akan boleh diubah,” kata pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.
Pada Julai lalu, Jong-un berkata, Korea Utara bersedia untuk menggunakan keupayaan nuklearnya dalam sebarang peperangan dengan Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan.
Beliau mengulangi bahawa Pyongyang akan berpegang teguh pada keupayaan senjata nuklear bagi menentang permusuhan oleh Washington.
“Tidak timbul isu Pyongyang akan melakukan sebarang gencatan senjata nuklear.
Tiada langsung perkara seperti melepaskan senjata nuklear terlebih dahulu, tidak ada denuklearisasi dan tiada rundingan tentang kemungkinan mengenainya,” tegasnya. – AFP