SHAH ALAM – Kebolehpasaran graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) berada antara 83 hingga 85 peratus untuk tiga tahun kebelakangan ini.
Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Roziah Mohd. Janor berkata, ini berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Bahagian Tranformasi Universiti hasil daripada Kajian Pengesanan Graduan.
Katanya, UiTM masih mendapat keyakinan dan menjadi pilihan majikan apabila berjaya mengekalkan kedudukan dalam penarafan QS Graduate Employability Rankinge 2022 dengan berada dalam kategori 301 hingga 500 intitusi terbaik dunia.
“UiTM komited menggandakan usaha dan meningkatkan kerjasama serta kolaborasi jaringan industri yang menepati kehendak pasaran dan permintaan pemegang taruh.
“Terkini, UiTM telah mengadakan kerjasama dengan menandatangani 655 memorandum persefahaman dan memorandum perjanjian(MoU/MoA) di peringkat antarabangsa dan 883 MoU/MOA dalam negara termasuklah yang melibatkan 316 aktiviti kolaborasi dengan pihak industri,” katanya ketika berucap pada istiadat konvokesyen UiTM ke-94 pada sidang pertama, di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM, di sini hari ini.
Istiadat konvokesyen sidang pertama itu disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut berangkat hadir, Pro-Canselor UiTM, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Jelas Roziah, UiTM turut berjaya dianugerahkan Reader’s Digest Trusted Brand Gold Award 2022 bagi kategori Universiti Awam dengan anugerah tersebut telah 12 kali diterima UiTM dalam pelbagai kategori.
“Selain itu, kejayaan para graduan ini turut mencerminkan perjalanan dinamik UiTM yang menggalas tanggungjawab besar untuk merubah sosioekonomi masyarakat Melayu bumiputera secara langsung menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan negara.
“Lantaran itu, UiTM amat mengharapkan kredibiliti graduan sekalian untuk mendepani masyarakat dengan membawa nama baik universiti,” katanya. – KOSMO! ONLINE.