fbpx

Jejantas RM1.5 juta ‘tergantung sepi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JEJANTAS bernilai RM1.5 juta yang terbiar sejak tiga tahun lalu selepas sebuah kolej berhampiran Taman Etnobotani, Gua Musang ditutup. – AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Penduduk daerah ini menyifatkan sebuah jejantas bernilai RM1.5 juta yang dibina di Taman Etnobotani di sini umpama ‘projek gajah putih’ apabila terbiar sepi sejak tiga tahun lalu.

Jejantas yang dibina oleh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) bertujuan untuk kemudahan pelajar Kolej Poly-Tech Mara Kesedar (KPTM-Kesedar), namun kini sepi apabila tiada yang menggunakannya.

Seorang penduduk, Azlan Mohd. Lazim, 50, berkata, jejantas itu hanya menjadi perhiasan apabila tiada orang menggunakannya sejak institusi pengajian tersebut ditutup tiga tahun lalu.

Katanya, selaku penduduk tempatan, dia merasakan kemudahan itu adalah sesuatu yang merugikan apabila projek yang menelan belanja jutaan ringgit tidak memberi manfaat.

“Saya merasa terkilan dengan keadaan yang berlaku kerana jambatan ini terbiar selepas kolej itu ditutup.

“Projek itu langsung tiada manfaat kepada penduduk sekitar yang tinggal di kawasan berhampiran dan kami menganggap ia satu pembaziran,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Norhayati Che Daud, 45, berkata, sebelum projek itu dijalankan, pihak bertanggungjawab perlu membuat perancangan untuk jangka masa panjang.

Katanya, ketika itu, tujuan pembinaan jejantas itu memfokuskan pelajar KPTM-Kesedar yang bilangannya dianggarkan kurang daripada 500 pelajar.

“Sepatutnya projek ini tidak fokus kepada golongan tertentu yang akhirnya merugikan dan berlaku pembaziran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Gua Musang, Asharun Uji berkata, projek pembinaan jejantas itu sememangnya ‘projek gajah putih’ kerana kos melebihi RM1 juta itu dapat digunakan untuk membantu rakyat di Gua Musang.

Sebelum ini, Kesedar mendakwa gagal mempertahankan KPTM-Kesedar Gua Musang daripada ditutup berikutan kurang mendapat sambutan akibat kesukaran pelajar mendapatkan pinjaman. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI