fbpx

Ismail Sabri mahu persediaan hadapi banjir dibuat lebih awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri ketika berucap pada program Aspirasi Kecemerlangan Keluarga Malaysia di Institut Jerman-Malaysia (GMI) di sini, hari ini.- Foto FARIZ RUSADIO

BANGI – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memanggil semua pihak yang berkaitan untuk membincangkan tentang persediaan negara menghadapi bencana banjir pada Isnin ini.

Ismail Sabri berkata, semua pihak berkaitan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), wakil-wakil kerajaan negeri dan lain-lain akan dipanggil untuk bermesyuarat agar persediaan dapat dilakukan lebih awal.

“Kita mahu semua pihak bersedia lebih awal agar kejadian banjir tidak dijangka seperti yang telah terjadi sebelum ini tidak berulang.

“Kita tahu ada negeri yang telah bersedia namun ada juga negeri yang tidak biasa hadapi banjir yang tidak bersedia,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Aspirasi Kecemerlangan Keluarga Malaysia di Bandar Baru Bangi di Institut Jerman-Malaysia (GMI) di sini, hari ini.

Menurut Ismail Sabri, beliau mahu semua pihak melakukan persediaan awal menghadapi banjir bukan sahaja di peringkat persekutuan malah sehingga ke peringkat daerah.

“Jika boleh kita mahu persediaan seperti pusat pemindahan banjir, stok makanan untuk mangsa dan peralatan pengangkutan untuk memindahkan mangsa disediakan lebih awal sebelum berlaku apa-apa perkara yang tidak dijangka.

“Berlaku banjir atau tidak itu tidak mengapa, yang penting persediaan itu perlu dilakukan. Kita pun tidak tahu berlaku banjir besar atau kecil namun mesti menganggap ia akan berlaku besar,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan, hujan lebat berterusan akan melanda negara mulai pertengahan November ini sekaligus membawa kepada risiko banjir besar.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah sebelum ini dipetik berkata, fenomena La Nina yang masih berterusan dan dijangka berpanjangan sehingga awal tahun depan, menjadi menyumbang kepada peningkatan taburan hujan.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI