TUMPAT – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan memastikan bekalan ikan semasa musim tengkujuh mencukupi dengan menyediakan stok simpanan ikan sejuk beku menerusi kaedah Q’Fish di negeri-negeri berlakunya banjir pada hujung tahun ini.
Q’Fish merupakan teknologi pembekuan pantas individu (IQF) yang digunakan supaya bekalan ikan dapat disimpan dalam tempoh lama.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LKIM, Kusuadi Sallih berkata, pihaknya bagaimanapun masih belum menetapkan negeri yang akan dijadikan sebagai pusat pengumpulan stok simpanan ikan kerana masih dalam peringkat persediaan menghadapi bencana banjir tahun ini.
“LKIM sedang menyediakan rangka kerja untuk penyediaan bekalan ikan ke seluruh negara melalui stok bekalan ikan.
“Kita juga bakal menyediakan pusat pengumpulan ikan di negeri yang dipilih bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi pada musim tengkujuh,” katanya ketika ditemui selepas Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) 2.0 Kelantan di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Sementara itu, menurut Ahmad, sebanyak 22 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan melaksanakan PJMKM 2.0 dengan nilai jualan melebihi RM1.2 juta dan dikunjungi seramai 24,335 orang setakat semalam.
Menurutnya, Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan dan LKIM sentiasa komited untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi bagi terus menjamin sekuriti makanan di negeri ini.
Tambahnya, ia merupakan usaha kerajaan dalam membantu meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barangan dan kos sara hidup ketika ini. – KOSMO! ONLINE.