KUALA LUMPUR – “Terima kasih Kuala Lumpur.”
Berulang kali kalimah tersebut diucapkan kumpulan pemuzik terkenal Indonesia, Dewa 19 sepanjang Konsert Jelajah Ulang Tahun ke-30 Tahun Dewa19 yang berlangsung Stadium Axiata Arena Bukit Jalil di sini semalam.
Hujan seawal pukul 5 petang semalam juga bukan kekangan untuk sekitar 8,000 penonton, khususnya beladewa dan baladewi peminat tegar Dewa 19 untuk menyaksikan kehandalan lima vokalis hebat Ahmad Dhani, Virzha, Once Mekel, Ari Lasso dan Ello buat pertama kali ‘bersanding’ di sebuah konsert mega di Malaysia.
Meninggalkan momen indah kepada pembeli tiket, Dewa19 ternyata berjaya memukau ramai dengan mendendangkan lebih 35 buah lagu-lagu hitsnya seperti Larut, Pupus, Sedang Ingin Bercinta dan Roman Picisan.
Sepanjang konsert yang berlangsung sekitar tiga jam, antara vokalis yang paling mendapat sorakan dan sambutan hangat pastinya Once.
“Sudah lama saya tidak menjejakkan kaki di Malaysia. Ini malam terbaik.
“Tanpa anda semua, kami bukan apa-apa. Terima kasih Malaysia,” katanya ringkas usai menyanyikan salah satu lagu popularnya bersama Dewa19, Roman Picisan.
Once atau nama sebenarnya Elfonda Mekel, 52, merupakan salah satu vokals yang berjaya meledakkan Dewa19 menerusi album Bintang Lima sekitar tahun 2000.
Sementara itu, kehebatan Ari Lasso, 49, di atas pentas tidak perlu diperdebatkan lagi.
Momentum energi dan lontaran vokalnya masih hebat seperti sebelum ini.
Dalam konsert sama, antara lagu yang dinyanyikannya ialah Elang, Kirana dan Satu Hati.
Dalam pada itu, nyanyian Virzha menerusi lagu Larut, Aku Milikmu dan Bunga juga tidak kurang hebatnya di atas pentas.
Ello pula, yang merupakan vokalis termuda harus diberikan pujian kerana berjaya menambat emosi penonton dengan vokal mantapnya.
Selain empat vokalis tersebut, Ahmad Dhani yang bermain keyboard turut mempersembahkan lagu popularnya bersama Dewa19 antaranya Sedang Ingin Bercinta dan Hadapi Dengan Senyuman.
Memenuhi permintaan luar biasa peminat, konsert yang pada awalnya direncanakan hanya satu malam tersebut berlangsung selama dua hari, pada 9 dan 10 September di lokasi sama.
Kali terakhir Dewa 19 membuat persembahan di Malaysua ialah pada tahun 2019 di Stadium Melawati, Shah Alam tanpa kehadiran Ahmad Dhani yang ketika itu terjebak kes mahkamah sehingga berdepan hukuman penjara. – KOSMO! ONLINE