GEORGE TOWN – Tiga pekerja sangkar ikan warga asing ditahan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang selepas dipercayai gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, anggota penguatkuasa bot ronda Maritim Malaysia telah melakukan pemeriksaan ke atas sangkar ikan di kedudukan 0.7 kilometer tenggara Batu Maung kira-kira pukul 6.05 petang menerusi OP PERTIWI.
”Hasil pemeriksaan mendapati, lesen kultur laut sangkar tersebut telah tamat tempoh dan disyaki lesen palsu.
”Tiga pekerja sangkar yang masing-masing berumur 24 hingga 26 tahun adalah warga Myanmar dan mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta permit kerja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, ketiga-tiga pekerja sangkar itu kemudiannya dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
”Kes akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985 iaitu tiada dokumen pengenalan diri yang sah dan lesen sangkar ikan tamat tempoh,” ujarnya.
Tambahnya, Maritim Malaysia menasihati pemilik sangkar ikan agar mematuhi peraturan dan undang-undang sedia ada bagi mengelakkan sebarang tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa.
Sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut atau sebarang kecemasan segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian: 04-2626146 atau talian kecemasan MERS 999. KOSMO! ONLINE.