NAPLES – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui pasukannya berhak untuk ‘dikendurikan’ selepas mempamer aksi tidak bermaya apabila tewas 1-4 pada aksi pembukaan Kumpulan A saingan Liga Juara-Juara awal pagi semalam.
Pada perlawanan di Stadium Diego Maradona itu, pasukan tuan rumah berjaya meraih gol hasil jaringan Piotr Zielinski (dua gol), Andre-Frank Zambo Anguissa dan Giovanni Simeone, manakala The Reds mendapatkan gol saguhati menerusi Luis Diaz.
Kata Klopp, apa yang dipamerkan oleh barisan pemain adalah yang terburuk sepanjang mengendalikan pasukan itu sejak 2015 kerana membiarkan Napoli melakukan serangan balas pantas dengan cukup mudah.
“Ini adalah perlawanan terburuk pasukan di bawah kendalian saya kerana pemain tidak cukup kompak terutama di bahagian benteng pertahanan. Apabila kita kehilangan bola, mereka mudah melakukan serangan balas pantas sehingga menjaringkan gol.
“Namun, kita boleh lihat Napoli adalah pasukan yang lebih berkualiti kali ini dan berhak mencatat kemenangan. Saya juga mahu memohon maaf kepada penyokong yang hadir dari England untuk menyaksikan aksi yang mengecewakan kali ini,” katanya.
Sementara itu, pertahanan Liverpool, Andy Robertson menyeru agar rakan-rakan sepasukan bangkit untuk berada di landasan kemenangan selepas gagal mempamerkan prestasi konsisten sejak bermulanya saingan musim baharu.
“Saya lihat semua pemain gagal memberikan tumpuan penuh seperti diharapkan dengan membiarkan benteng pertahanan terdedah dengan serangan balas yang cukup efektif dilakukan oleh pasukan lawan,” katanya.
– AGENSI