DUNGUN – Sekumpulan 10 keluarga yang mendiami kawasan tepi pantai di Kampung Cacar Lama, Paka di sini hidup dalam kerisauan setiap kali memikirkan rumah mereka bakal ranap ekoran hakisan tebing yang semakin kronik sejak empat tahun lalu.
Penduduk mendakwa, mereka berisiko untuk berdepan dengan kejadian itu ekoran kedudukan rumah yang paling hampir dengan pesisir pantai.
Salah seorang penduduk, Jusoh Othman, 64, berkata, hakisan terbabit biasanya semakin memburuk pada setiap kali tiba fenomena air pasang besar dan musim tengkujuh.
Dia yang menetap bersama dua anak dan tiga cucu amat risau kerana monsun timur laut dijadual melanda kira-kira dua bulan lagi.
“Kami memang tidak tidur lena sepanjang musim tengkujuh antara bulan November hingga Mac setiap tahun.
“Ikutkan rumah kami mengalami banyak kerosakan dan tidak selamat untuk diduduki tetapi ini sahajalah tempat kami menumpang teduh,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Cacar Lama di sini semalam.
Jusoh berkata, dia tidak mampu untuk mengikut jejak sebahagian penduduk kampung lain yang berpindah dengan menyewa atau membina rumah lain di kawasan lebih selamat kerana kesempitan hidup.
Seorang lagi penduduk, Rosniza Mohamad, 40, berkata, dia sekeluarga juga mengambil risiko menetap di rumahnya yang telah retak terutama pada bahagian dapur kerana tidak mampu untuk menyewa atau membina kediaman lain.
“Memang kami penduduk kampung ambil inisiatif membina benteng pasir tetapi kurang berkesan kerana ombak lebih tinggi.
“Setiap kali musim tengkujuh, kami sekeluarga akan menumpang di rumah saudara yang selamat sambil berdoa agar rumah tidak roboh dihempas ombak,” katanya.
Sehubungan itu, Rozniza merayu keseriusan pihak berkuasa untuk membantu mereka menangani masalah hakisan yang semakin meruncing terbabit.
“Sekurang-kurangnya tolong lah bantu kami penduduk terjejas ini untuk mendapatkan penempatan baharu yang lebih selamat,” katanya.