KUALA LUMPUR – Syarikat-syarikat di Malaysia disarankan untuk mencari keunikan sendiri termasuk pasaran yang belum diterokai sebahagian usaha memacu pembangunan dan inovasi industri halal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keperluan itu perlu dipertimbangkan meliputi mengubahsuai usaha penjenamaan dan promosi dalam mengakses pasaran baharu.
“Saya mahu syarikat di Malaysia terus mencari keunikan sendiri dan mencari pasaran yang belum diterokai.
“Kita perlu cekal dan berdaya saing. Inilah masanya untuk kita ‘mempelbagaikan potensi halal’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pameran Halal Antarabangsa Malaysia ke-18 (MIHAS 2022) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC), di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata, antara inisiatif untuk memudahkan pertumbuhan industri halal Malaysia ialah penubuhan ‘Halal Malaysia Industrial Parks’ yang merupakan Hab Halal dunia terbesar.
“Ia meliputi kawasan seluas 200,000 ekar di 14 Taman Halal strategik yang telah menerima status Halal Malaysia (HALMAS) daripada Halal Development Corporation Berhad (HDC).
“Sebanyak 295 syarikat kini beroperasi di 22 Taman Halal di seluruh Malaysia, termasuk 42 syarikat multinasional dengan hasil pelaburan terkumpul lebih RM16 bilion,” jelasnya.
Tambah Ismail Sabri, setakat ini, lebih 8,000 syarikat di Malaysia diiktiraf halal, di mana lebih 20 peratus daripadanya adalah syarikat pengeksport.
MIHAS edisi ke-18 menampilkan pameran secara fizikal dan maya, sesi pemadanan perniagaan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI), ruang interaksi maya, dan sesi perkongsian serta persidangan secara langsung.
Selain itu, pameran selama lima hari itu turut memberi fokus kepada tiga komponen utama, iaitu pameran produk dan perkhidmatan halal, program penyumberan antarabangsa (INSP) dan hab pengetahuan. – KOSMO! ONLINE