fbpx

Saya tak kejar duit, mahu bebas berkarya – Shila Amzah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHILA AMZAH

KUALA LUMPUR – “Saya masuk GV9 bukan sebab duit.”

Demikian penegasan penyanyi Shila Amzah sekali gus membidas dakwaan netizen yang mempertikaikan kelayakan dan motif penyertaannya dalam program realiti popular Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9).

Kata Shila, 32, dia sudah terbiasa dengan kecama dan pertuduhan tidak berasas netizen, bahkan tetap dengan pendiriannya bahawa kemasukan dalam GV9 sebagai platform memperbaiki diri, ingin keluar daripada zon selesa dan bukan untuk mengejar kewangan apatah menyempurnakan sasaran rating pihak produksi seperti diperkatakan.

“Perlu diperjelaskan di sini. saya masuk GV9 bukan sebab duit. Lagi satu tiada kena mengena dengan soal stesen televisyen yang mahu kejarkan rating.

“Ini kerana saya melihat program realiti ini boleh menjadi platform yang sesuai bagi seseorang penyanyi untuk terus berkarya secara bebas.

“Sebelum ini, saya menyertai beberapa pertandingan seperti The Masked Singer dan Anugerah Juara Lagu, tetapi kedua-dua pertandingan itu mempunyai konsep berbeza, tak sama langsung macam GV,” katanya.

Ditanya mengenai kritikan yang bakal diterima daripada barisan juri handalan dan netizen sendiri, pelantun lagu Patah Seribu itu bersifat terbuka dan sudah bersedia menerimanya.

“Jika nak cakap takut pada kritikan, saya dah pernah lalui macam-macam kontroversi sebelum ini.

“Saya juga tak kisah dikritik dari segi nyanyian kerana lebih baik kritikan soal kerja berbanding peribadi dan keluarga,” ujarnya.

Penyanyi yang popular dan mencipta nama di negara Tembok Besar, China itu ditemui selepas sidang akhbar pengumuman 16 peserta GV9 kelmarin.

Selain Shila Amzah, penyertaan dua lagi nama penyanyi popular, Jaclyn Victor dan Tomok turut mendapat pertikaian ramai memandangkan masing-masing masih aktif dalam karier.

Dikatakan musim paling berat untuk dijurikan oleh Datuk Ramli MS, GV9  bakal memulakan saingan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor bermula 18 September ini.

Selain Shila, Jaclyn dan Tomok, peserta handal lain yang turut bakal berentap merebut gelaran juara ialah Dina Nadzir, Haida, Pat Candy, Tom Fara, Bob Yusof, Asheed Def Gab C, Roy Kapilla, Hazrul Nizam, Fuad Rahman dan VE yang dianggotai empat ahli.

Juara GV9 bakal membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 berserta trofi sumbangan Astro. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI