PUTRAJAYA – Bilangan warga Malaysia yang menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan dan terkandas di luar negara setakat awal bulan ini sudah pun mencecah seramai 195 orang.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, berdasarkan rekod pejabat perwakilan diplomatik Malaysia dan pihak berkuasa di negara tersebut, setakat 2 September lalu paling ramai menjadi mangsa di Kemboja iaitu 148 orang.
“Selebihnya diikuti negara jiran iaitu Thailand dengan seramai 23 orang, Laos pula 22 orang dan Myanmar cuma dua orang,” jelasnya menerusi kenyataan perkembangan terkini melibatkan kegiatan jenayah tersebut.
Beliau turut mengesahkan awal bulan ini, pihak Wisma Putra menerima surat daripada dua wakil rakyat di Melaka yang memohon bantuan membebaskan mangsa di beberapa negara.
Mangsa kesemuanya dilaporkan terpedaya iklan tawaran kerja dengan upah bulanan cukup tinggi sehingga AS$8,000 yang disiarkan menerusi laman sosial tempatan.
Bagaimanapun, apabila tiba di negara tersebut, mangsa dipaksa menjadi ejen panggilan palsu atau ‘scammer’ dengan ditugaskan memperdaya ramai warga China berada di seluruh dunia.
Usaha pengesanan agak sukar kerana identiti mereka telah diubah dan disorok dalam bangunan dikawal ketat dengan ada diseksa teruk kerana gagal mencapai sasaran jualan ditetapkan.
“Setiap laporan akan disalurkan terus kepada pejabat perwakilan Malaysia di negara tersebut untuk tindakan susulan bersama-sama pihak berkuasa di negara tuan rumah,” tambahnya.
Ketika ini sejumlah 87 mangsa jenayah berkenaan telah pun berjaya diselamatkan dan pulang ke tanah air melibatkan 65 orang dari Kemboja, Laos (10), Thailand (10) dan Myanmar (dua).
Justeru, beliau menasihatkan rakyat Malaysia untuk sentiasa berwaspada dengan tawaran bekerja di negara asing terutamanya gaji lumayan yang diiklankan melalui wadah media sosial. – KOSMO! ONLINE