KLANG – Polis sedang mengesan pemandu sebuah pacuan empat roda bagi membantu siasatan kes seorang penunggang motosikal yang maut dilanggar lari di Jalan Kampung Batu 9 di sini, Mei lalu.
Kemalangan kira-kira pukul 11 pagi, 9 Mei lalu itu mengorbankan nyawa seorang lelaki berusia 54 tahun.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, kejadian itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi tersebut .
“Rakaman itu menunjukkan sebuah pacuan empat roda dari arah bertentangan dan melanggar motosikal ditunggang mangsa.
“Perlanggaran itu kemudian mengakibatkan mangsa terjatuh atas jalan manakala kenderaan berkenaan tidak berhenti dan terus beredar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, lelaki yang cedera parah itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut.
“Namun, mangsa disahkan meninggal dunia pada 2 Jun lalu,” katanya.
Tambah Vijaya Rao, usaha mengesan pemandu itu masih dijalankan sehingga kini.
“Rakaman CCTV turut tidak dapat mengesan dengan jelas nombor pendaftaran kenderaan berkenaan. Justeru, orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Surihan Samsudin di talian 013-2082327 atau balai polis berdekatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE