PARIT – Kehadiran syarikat yang memiliki reputasi besar melabur di dalam negeri ini menggambarkan Perak kekal kompetitif dalam menarik pelaburan asing bagi mengukuhkan proses pemulihan ekonomi pasca Covid-19.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyifatkan pembinaan kilang syarikat pembuat komponen elektrik dan elektronik (E&E) XP Power Ltd di bawah anak syarikatnya XP Power (M) Sdn. Bhd. di Seri Iskandar menunjukkan langkah-langkah pemulihan ekonomi yang sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan negeri semakin membuahkan hasil.
Beliau berkata, keputusan XP Power memilih Perak sebagai destinasi pelaburan bagi mengembangkan perniagaan mereka di rantau ini turut membantu mengukuhkan semula asas-asas ekonomi di negeri ini selain memberi keyakinan kepada para pelabur baharu dan sedia ada.
“Saya yakin operasi XP Power ke Perak ini akan memberi ruang sangat luas kepada proses pemindahan teknologi dan pengetahuan (kerana) kepakaran (dan) hasil pengalaman lebih tiga dekad dalam industri sejak 1988 serta reputasinya sebagai antara 250 syarikat tersenarai (dalam) bursa saham London.
“Pelaksanaan kawasan pertama melibatkan anggaran pelaburan (bernilai) RM300 juta dalam tempoh lima tahun ini menjadikan ia pelaburan terbesar XP Power dirantau ini selepas mereka bertapak di Amerika Syarikat, Jerman, China dan Vietnam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Fasiliti Kilang Elektrik & Elektronik XP Power di Taman Perindustrian Farmaseutikal, Bandar Seri Iskandar di sini hari ini.
Menurut Saarani, projek yang dijangka akan beroperasi sepenuhnya menjelang suku kedua tahun 2024 ini juga bakal menawarkan lebih 1,200 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan luar apabila ia siap kelak.
“Kilang baharu di Seri Iskandar ini akan dibangunkan di atas lot industri seluas 8.5 hektar dan pembinaannya akan bermula pada bulan ini dijangka akan beroperasi sepenuhnya menjelang suku kedua tahun 2024.
“Pelaburan berimpak tinggi ini juga dijangka bakal menjana 1,200 peluang pekerjaan (di mana) kerajaan negeri turut mengalu-alukan komitmen dan kesediaan XP Power untuk menjalin kerjasama dengan institusi kemahiran dan pengajian tinggi tempatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE