fbpx

MB arahkan kerja-kerja dalamkan sungai dilakukan segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jengkaut melakukan kerja-kerja mendalamkan Sungai Lata Celak yang dilanda banjir kali ketiga ekoran hujan lebat di Kampung Iboi, Alor Setar hari ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengarahkan supaya kerja-kerja mendalamkan Sungai Kupang dan mengeluarkan pasir dari kawasan itu dilaksanakan segera sebagai langkah untuk mengurangkan risiko banjir kilat seperti yang berlaku pada Selasa lalu.

Menurutnya, arahan tersebut sudah dikeluarkannya kepada Pejabat Daerah dan Tanah Baling demi keselamatan penduduk setempat.

Keadaan jambatan bailey yang dibina dua bulan lalu rosak dan berubah kedudukan akibat dilanda banjir dan kepala air buat kali ketiga ekoran hujan lebat di Kampung Iboi, Alor Setar hari ini. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN

Begitu pun beliau mengakui, kerja-kerja tersebut mungkin akan mengambil masa lama berikutan kapasiti tanah serta pasir yang terlalu banyak dan memenuhi sungai yang dahulunya berada di bawah paras jalan lebih tiga meter.

“Kini tanah serta pasir telah memenuhi sungai sehingga air berada sama paras dengan jalan. Proses itu memang lama dan lambat kerana dulu mereka buat pengukuhan tebing tetapi apabila datang banjir kali kedua dan ketiga, rosak pula dan perlu dibuat sekali lagi.

“Selain itu pasir di dalam Sungai Kupang turut perlu dikeluarkan. Saya dah minta kepada Pejabat Daerah dan Tanah Baling agar pasir-pasir yang dilonggokan di tepi sungai itu dibawa keluar dengan segera.

“Walaupun kena kerja 24 jam sekali pun, bekerjalah untuk bawa keluar semua pasir itu. Timbunan pasir itu perlu dikeluarkan dari situ dan selepas itu, barulah sungai tersebut boleh didalamkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Kepada Kontinjen Kedah Sempena Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di Dewan Seri Mentaloon di sini hari ini.

Diminta menyampaikan pesanannya kepada penduduk terjejas, Muhammad Sanusi berkata, semua mereka diharap bersabar memandangkan kejadian itu merupakan sesuatu yang di luar jangkaan.

“Ada perkara yang kita boleh ramal tetapi selebihnya, kita serah kepada Allah. Hadapilah dengan sabar dan kerajaan akan berusaha bersungguh-sungguh bagi mengatasi masalah ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI