fbpx

JKM adakan sesi kaunseling bersama pelakon remaja dakwa dicabul bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rina Harun

PUTRAJAYA – Satu sesi kaunseling telah diadakan pada Isnin lalu oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama pelakon remaja yang sebelum ini mendakwa pernah dicabul oleh bapanya sendiri.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, seorang kaunselor turut dibawa sewaktu sesi menyantuni pelakon berkenaan yang berlangsung di kediamannya.

“JKM sudah mengadakan sesi kaunseling dengan menyantuni pelakon itu termasuk mengambil beberapa tindakan susulan dari segi emosi dan sebagainya.

“Pihak JKM juga akan mengadakan sesi kaunseling susulan selepas ini. Saya kira bapa dan pelakon itu juga masing-masing sudah membuat laporan polis, jadi biar pihak berkuasa jalankan siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Dasar Dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif Dan Sosial Kebangsaan (PEKERTI) Tahun 2022-2025 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah JKM, Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, sesi kaunseling seterusnya melibatkan remaja perempuan itu akan diadakan dalam masa terdekat termasuklah melihat kepada keperluan lain pelakon berkenaan.

Berhubung desakan agar pihak yang menemu bual pelakon berkenaan dikenakan tindakan susulan didakwa mengeksploitasi remaja tersebut, Shaharuddin memaklumkan bahawa perkara tersebut perlu dipanjangkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

“Untuk tindakan mengikut Akta Kanak-Kanak, kita perlu memperhalusi dan bekerjasama dengan MCMC yang mempunyai bidang kuasa menyekat kandungan tertentu,” ujar beliau.

Terdahulu, Kosmo! Online pada 6 September lalu melaporkan tentang satu laporan polis yang dibuat oleh seorang pelakon remaja perempuan yang mendakwa diganggu secara seksual oleh bapanya menerusi pendedahan dalam satu program ‘broadcast’ di YouTube, baru-baru ini.

Pelakon terbabit mendakwa sikap buruk bapanya yang melakukan gangguan seksual terhadapnya termasuk memperlakukan ibunya dengan teruk.

Bapa pelakon berkenaan berusia 43 tahun itu seterusnya telah ditahan di Kedah dan direman sehingga Isnin ini untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI