fbpx

Fall bikin jantung hampir meletup!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SINEMATOGRAFI Fall ringkas tetapi memberi warna yang sempurna untuk filem ini.

BERPELUH dan adrenalin menderas. Itu yang dapat dirasakan sepanjang menonton sebuah filem thriller survival berjudul Fall arahan sutradara Scott Mann.

Debaran mendakap dada kerana setiap perincian jalan cerita berkenaan sarat dengan babak saspens sehinggakan boleh mengundang rasa ingin muntah kerana terlalu berdebar!

Fall membawa kisah tentang dua kawan baik, Becky (Grace Caroline Currey) dan Hunter (Virginia Gardner) yang berkongsi hobi serupa iaitu melakukan aktiviti ekstrem, memanjat gunung atau tempat tinggi yang selalunya berbahaya.

Mereka dahagakan cabaran dan berani mencuba lokasi bahaya demi mencapai kepuasan sehinggalah akhirnya berlaku tragedi apabila suami kepada Becky, Dan jatuh ketika mereka menyertai ekspedisi memanjat sebuah gunung berbatu.

Sejak tragedi hitam tersebut, Becky hidup dalam kemurungan sehinggalah Hunter datang menemuinya dan mendorong dia keluar daripada perasaan terpuruk dengan satu aktiviti mencabar iaitu memanjat menara terbiar di sebuah gurun.

SIAPA sangka, dalam hubungan baik antara dua wanita ini sebenarnya terselit satu rahsia besar yang menjadi ‘plot twist’ Fall.

Dengan ketinggian 2,000 kaki atau 610 meter, Becky dan Hunter berjaya menawan menara terbiar tersebut tanpa mengetahui bala yang sedang menunggu mereka selepas itu.

Sama seperti judulnya yang singkat, Fall, jalan cerita filem berkenaan sebenarnya digarap cukup minimalis tetapi aksi-aksi dipaparkan itulah yang membuatkan jantung sentiasa berdebar.

Bagi yang takut dengan ketinggian atau bahasa mudahnya gayat, pasti akan alami rasa seram yang melampau sepanjang menyaksikan filem ini.

Aksi ketika Becky dan Hunter memanjat menara terbiar diterjemahkan dengan sempurna dan benar-benar membuatkan penonton turut sama rasa berdebar melihat ketinggian di situ.

Hunter menunjukkan sisi terlebih berani dan energetik, sedangkan Becky pula masih bergelut dengan trauma memanjat tempat tinggi dan itulah yang menjadi nilai tambah untuk elemen debaran dalam Fall.

Kesukaran Becky melawan perasaan sendiri mengalir dalam jiwa penonton tetapi semangat jitu wanita itu boleh diambil sebagai pengajaran berguna buat mereka yang mungkin mengalami masalah serupa.

Tetapi ada yang tidak boleh dijadikan ikutan dalam filem ini, terutama tindakan berani mati mereka memanjat menara terbiar yang sudah berkarat dan skru-skru juga ada antaranya longgar serta tercabut.

Ibaratnya, menempah maut di tangan sendiri. Lebih-lebih lagi ketika mereka terperangkap di puncak menara gara-gara semua tangga tercabut. Maka, di atas situ adalah jalan mati buat mereka.

Mencantikkan jalan cerita, ada berlaku plot twist yang menggoncang emosi penonton terutama berkaitan kematian Dan serta paling tragis, kejadian menimpa Hunter di puncak menara berkenaan.

Elemen paling diterapkan dalam filem ini adalah tentang percaya diri, kuat semangat dan jangan putus harapan biarpun nyawa sudah di hujung tanduk.

Selain elemen saspens, Fall turut menyelitkan sedikit garapan seram dan kejutan yang menjadi sisipan akhir plot twist. Tetapi jangan risau, tahap keseraman hanya 2/5.

Tidak dilupakan, satu hal lain yang memberi warna dalam Fall adalah teknik sinematografinya.

Ringkas, cuma paparan pemandangan dari atas menara dikelilingi gurun, kosong tanpa ada apa-apa dan hanya berlatar belakang awanan putih serta langit membiru, tetapi menjadi ‘eye catching’ buat penonton.

Fall sangat dicadangkan sebagai sebuah filem menarik untuk ditonton. Kalau pun anda seorang yang gayat, cabar diri melawan ketakutan, jadilah seperti Becky yang berani!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN