CHRISTCHURCH – Seorang kanak-kanak di New Zealand terkejut apabila menemui seekor cacing tanah yang mempunyai ukuran panjang sama seperti budak berusia lima tahun, lapor portal berita MailOnline semalam.
Barnaby Domigan, 9, dirakam memegang cacing tanah itu selepas menemuinya di kawasan sungai dekat rumah mereka.
“Dia amat terkejut dan teruja kerana cacing itu sangat besar.
“Barnaby ketika itu, bermain di kawasan luar rumah bersama adik-beradiknya. Dia memasuki kawasan gigi air untuk melihat sekiranya terdapat sesuatu yang menarik perhatiannya.
“Apabila terlihat cacing gergasi itu, Barnaby menggunakan sebatang kayu untuk menariknya keluar,” kata ibunya, Jo.
Tambah Jo, mereka tidak mengukur panjang cacing tersebut, namun ia mungkin sepanjang kedua-dua tangan Barnaby.
“Justeru, kami menganggarkan cacing itu sepanjang satu meter,” ujarnya.
Tambah Jo, Barnaby berhasrat untuk menyimpan haiwan itu, namun dia dan suaminya membuat keputusan untuk meletakkan kembali cacing tersebut ke lokasi asal ia ditemui.
“Saya memuat naik gambar Barnaby bersama cacing itu di Facebook, dan keesokan harinya, kami mendapati ramai orang berminat dengan penemuan itu,” katanya.
Terdapat beberapa spesies cacing tanah di New Zeland yang boleh membesar melebihi panjang 30 sentimeter.
Spesies terbesar, Spenceriella gigantea, dikatakan boleh membesar sehingga panjang 1.3 meter. – Agensi