YANG di-Pertuan Agong merupakan pemimpin terbesar negara kita yang dipilih oleh Majlis Raja-raja menurut kaedah dan cara yang ditetapkan dalam Jadual Ketiga Perlembagaan dan Peraturan-peraturan Majlis Raja-raja.
Malaysia bukanlah kerajaan beraja yang mutlak atau turun-temurun, tetapi Malaysia mempunyai Raja bergelar Yang di-Pertuan Agong yang bersemayam selama lima tahun, satu sistem yang unik di dunia.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah iaitu Sultan Pahang merupakan Yang di-Pertuan Agong ke-16 merupakan seorang pemerintah paling disayangi rakyat.
Ditambah pula dengan keceriaan serta kebaikan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang tidak perlu diperkenalkan lagi.
Hari Kebangsaan 2022 baru-baru ini dikatakan sebagai sambutan paling meriah dalam sejarah yang turut memperlihatkan gelagat bersahaja pembesar nombor satu negara ini dan menjadi tumpuan rakyat jelata.
Tidak kekok atau menjaga ‘status diraja’, Seri Paduka Baginda berdua kelihatan begitu menikmati acara tersebut.
Nampak penat ‘pembesar-pembesar’ lain untuk bangun dan duduk mengikut apa yang Seri Paduka Baginda berdua lakukan ketika menghormati wira-wira negara ketika melintasi hadapan pentas diraja.
Mini love, senyuman serta gelagat-gelagat lain yang dihadiahkan oleh Seri Padua Baginda berdua sudah cukup untuk menceriakan rakyat.
Tidak keterlaluan jika dikatakan, rakyat yang menonton dari kaca televisyen di rumah juga tunggu sehingga habis untuk terus melihat keceriaan yang dipaparkan baginda berdua.
Bukan sahaja pada sambutan Hari Kebangsaan, malah keceriaan dan sikap merendah diri yang dipamerkan telah banyak dibuktikan ketika negara menerima musibah sebelum ini.
Agong serta Permaisuri turut rapat dengan rakyat serta sering sahaja ‘turun’ dari kereta baginda untuk bertegur sapa dengan rakyat setempat.
Rata-rata pengguna media sosial meninggalkan komen positif dengan memuji keperibadian dan mendoakan baginda diberi kesihatan yang baik serta dipanjangkan usia.
Seorang pengguna media sosial menggunakan nama Merak Kayangan berkata, Raja Permaisuri Agong bukan sahaja sempurna sebagai wanita, tetapi juga seorang yang berjiwa rakyat.
“Permaisuri bagi saya seorang yang sempurna sebagai perempuan, cantik, tidak sombong. Apa yang diceritakan dia makan macam kita orang-orang biasa makan, terbaik Tuanku. Semoga Tuanku sekeluarga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki,” katanya.
Sementara itu, pelayar bernama Adriana Rahman pula berkongsi pengalamannya yang berpeluang merasa hidangan Raja Permaisuri Agong ketika di pusat pemindahan banjir.
“Di pusat pemindahan banjir di Pahang dahulu, dapatlah saya merasa sekali air tangan masakan Raja Permaisuri Agong kita. Rasa nak lagi merasa masakannya itu,” katanya.
Pelayar bernama Haikal Mahammad pula berkata, perwatakan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong tidak hanya menunjukkan baginda berdua sebagai pemimpin terbaik tetapi juga melambangkan ciri pasangan bahagia.
“Ini bukan contoh pemerintah terbaik sahaja, tetapi contoh pasangan suami isteri terbaik dan mithali.
“Walaupun berdarah raja namun gaya hidup baginda melambangkan kemelayuan,” katanya.