fbpx

Wujudkan dunia multipolar aman – Perdana Menteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri ketika menyampaikan ucaptamanya pada EEF secara maya hari ini.

PUTRAJAYA – Malaysia berpandangan setiap negara bangsa perlu berani mengorak langkah ke arah mewujudkan dunia multipolar yang aman damai, menghormati diplomasi antarabangsa dan mewujudkan hubungan sejahtera sejagat.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Forum Ekonomi Timur Ketujuh (EEF) yang bertemakan “On the Path to a Multipolar World, secara dalam talian hari ini.

Ismail Sabri berkata, dunia hari ini sedang bergerak ke arah multipolar yang membawa bersama ancaman serta peluang yang wajar dimanfaatkan oleh semua pihak.

Menurutnya, semua negara harus menerima dan menyesuaikan diri dengan pengagihan kuasa baharu dalam mencorak masa hadapan lebih makmur, mampan dan saksama.

“Dari perspektif Malaysia, tiada negara yang boleh hidup secara terasing. Oleh itu, Malaysia sentiasa mengamalkan sikap mesra dan terbuka untuk menjalinkan persahabatan dengan mana-mana negara.

“Melihat dari sudut ekonomi dalam dunia multipolar ini, terdapat beberapa negara membangun muncul sebagai kuasa ekonomi baharu,” katanya.

EEF edisi ketujuh itu berlangsung secara fizikal di Vladivostok, sebuah bandar yang terletak di Timur Jauh Rusia bermula dari 5 sehingga 8 September.

Ismail Sabri berkata, Malaysia berpegang teguh kepada prinsip Kepaksian ASEAN serta prinsip-prinsip asas seperti saling bekerjasama, menghormati kedaulatan negara serta semangat membantu negara-negara anggota bagi mencapai keamanan dan kemakmuran serantau.

Menurutnya, sebagai salah satu negara pengasas kumpulan ASEAN, Malaysia akan terus memainkan peranan penting dalam
pembinaan komuniti dan integrasi serantau.

“Sehubungan itu, adalah menjadi harapan Malaysia agar semua rakan dialog ASEAN, memberi perhatian dan menghormati prinsip ini,” katanya.

“Malaysia juga mengalu-alukan platform yang disediakan negara anggota BRICS (iaitu Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) dalam menyediakan ruang kepada negara membangun untuk menyuarakan pendirian dan pandangan mengenai agenda pembangunan sejagat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI