fbpx

Warga emas maut terhidu asap rumah terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang warga emas maut disyaki lemas akibat terhidu asap dalam kebakaran di Taman Bukit Pertama, Bukit Siput, Segamat hari ini.

SEGAMAT – Seorang warga emas meninggal dunia dipercayai selepas terhidu asap dalam kebakaran di rumahnya di Jalan Bukit Pertama 5, Taman Bukit Pertama, Bukit Siput di sini, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 2.05 pagi itu, Mustaffar Batin, 61, yang mendiami rumah tersebut dipercayai gagal keluar dari rumahnya sewaktu api sedang marak.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa tinggal bersendirian di bilik sewa berkenaan dan jiran menyedari kejadian kebakaran itu menghubungi talian kecemasan.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bandar Baru Segamat, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Marzuki Ismail berkata, mangsa terperangkap di tingkat atas rumah dua tingkat terbabit.

Menurutnya, seramai 17 pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru dan Bandar Segamat dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran.

“Pihak bomba terpaksa memecahkan pintu bilik bagi menyelamatkan mangsa yang berada di bilik tingkat atas.

“Mangsa ditemui tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kesan melecur 20 peratus di bahagian badan, tangan, muka dan kaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan dan mayat mangsa dibawa Ke Jabatan forensik Hospital Daerah Segamat (HDS) untuk tindakan lanjut. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI