BALING – Polis menahan seorang wanita berusia 23 tahun bagi membantu siasatan kes penipuan pelaburan wang tidak wujud dikenali sebagai Savingbywaniey atau Free Cash (FC) pada petang ini.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, suspek yang sebelum ini diburu polis menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Baling kira-kira pukul 4 petang tadi.
“Permohonan reman ke atas suspek akan dilakukan di Mahkamah Majistret Sungai Petani pada esok pagi.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, dua lagi suspek termasuk wanita mengandung dibebaskan dengan jaminan polis.
Kosmo! Online pada 25 Ogos lalu melaporkan polis bertindak menahan dua wanita berusia 30 tahun dan memburu seorang lagi suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan kes penipuan pelaburan tidak wujud dikenali sebagai Savingbywanie atau Free Cash dengan kerugian kira-kira RM1.2 juta.
Salah seorang suspek terbabit sarat mengandung. – KOSMO! ONLINE