fbpx

Usaha turunkan paras air Tasik Manchar di Pakistan gagal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kebanyakan penduduk dari kampung berdekatan Tasik Manchar kini terpaksa merempat di tepi jalan tanpa tempat tinggal atau bantuan makanan dan minuman. - The Financial Daily

ISLAMABAD – Pihak berkuasa Pakistan bergelut untuk menghentikan tasik terbesar negara itu daripada melimpah keluar selepas usaha merendahkan paras airnya gagal, lapor Badan Penyiaran British (BBC) semalam.

Paras air di Tasik Manchar yang terletak di wilayah Sindh melepasi tahap amaran selepas menadah hujan monsun yang kini menenggelamkan satu pertiga Pakistan.

Tiga pecahan yang dilakukan pada tebing tasik setakat ini dengan dua daripadanya bertujuan  melindungi kawasan berhampiran telah menyebabkan lebih 100,000 orang kehilangan tempat tinggal.

Namun, paras airnya tidak menurun mengikut jangkaan dan masih boleh melimpah dan menyebabkan pasukan penyelamat berlumba-lumba untuk memindahkan lebih ramai orang yang masih berisiko lemas.

Banjir di Pakistan telah menjejaskan kira-kira 33 juta orang dan membunuh sekurang-kurangnya 1,314, termasuk 458 kanak-kanak, kata Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan Pakistan.

Wilayah Sindh menghasilkan separuh daripada bekalan makanan negara, memburukkan lagi kebimbangan kekurangan makanan yang serius di negara yang sudah bergelut dengan krisis ekonomi.

Kini, penduduk berhampiran tasik menggunakan jentera kerajaan untuk mengukuhkan kembali benteng-benteng bagi mengelak berlakunya limpahan air berlebihan yang tidak dirancang.

Penduduk kampung berhampiran telah diberi amaran untuk berpindah, namun sumber tempatan mengatakan tidak semua orang dibawa ke tempat yang selamat tepat pada masanya apabila ada yang tidak mahu meninggalkan rumah atau ternakan mereka.

Tentera telah dibawa masuk untuk membantu proses pemindahan, tetapi kebanyakan penduduk tempatan bergantung antara satu sama lain untuk saling membantu.

Ramai penduduk yang terpaksa berpindah juga dikatakan hanya menunggu di tepi jalan tanpa tempat tinggal, makanan atau air minuman bersih.

“Kami tidak mendapat apa-apa di sini, kami cuba mencari makanan untuk anak-anak sepanjang hari, sudah beberapa malam kami tidur tanpa makanan.

“Anak-anak kami semakin sakit dan kami terpaksa tidur di atas tanah,” kata seorang penduduk wanita. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI