fbpx

Tanam pokok buah-buahan di ‘hutan rosak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kakitangan syarikat peralatan tandas elektronik dari Senawang itu menanam pelbagai jenis pokok buah-buahan di Hutan Simpan Gemas Selatan, Negeri Sembilan.

PEMANASAN global kini telah menjadi satu isu yang sering dibincangkan oleh pelbagai pihak bagi membolehkan langkah-langkah wajar diambil demi menangani masalah ini.

Jika masalah tersebut gagal diatasi, ia akan memberi impak besar, bukan hanya kepada alam sekitar, malah manusia turut menerima padahnya.

Salah satu punca yang membawa kepada masalah ini adalah disebabkan penerokaan kawasan untuk tujuan pembangunan yang menyaksikan banyak pokok telah ditebang.

Pokok sebenarnya mempunyai peranannya yang tersendiri terhadap alam sekitar di mana ia berfungsi untuk menyerap karbon dioksida bagi mengurangkan kesan rumah hijau di atmosfera sekali gus dapat mengurangkan kesan perubahan iklim yang boleh menyebabkan berlakunya pemanasan global.

Malah, di Malaysia sendiri, banyak kawasan diteroka secara haram dan pokok-pokok ditebang untuk tujuan tertentu.

Menyedari akan kepentingan pokok terhadap alam semula jadi, syarikat pengeluar peralatan tandas elektronik berasal dari Jepun, TOTO Malaysia Sdn. Bhd. yang beroperasi di Senawang, Negeri Sembilan telah mengambil inisiatif untuk menanam 100 pokok di Hutan Simpan Gemas Selatan, Negeri Sembilan.

KAWAGUCHI

Pengarah Urusannya, Mitsuru Kawaguchi berkata, inisiatif itu dilaksanakan adalah bagi menyokong program Penghijauan Malaysia yang dilaksanakan kerajaan yang menyasarkan untuk menanam 100 juta pokok menjelang tahun 2025.

“Sebanyak 100 anak pokok buah-buahan asli telah ditanam oleh kakitangan kami dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan.

“Ini merupakan antara inisiatif yang kami laksanakan dalam membantu pemuliharaan hutan-hutan terbiar,” katanya.

Antara pokok yang ditanam di hutan simpan itu termasuk pokok sentul, kasai, longan, kuini dan lain-lain lagi.

Malah, pihak perhutanan akan terus memantau pokok yang ditanam tersebut bagi memastikannya dapat hidup dengan subur.

Inisiatif dilaksanakan oleh syarikat peralatan tandas elektronik Jepun itu adalah bersempena kempen penanaman 100 juta pokok yang dilaksanakan kerajaan.

Hutan Simpan Gemas Selatan yang mempunyai keluasan tanah lima hektar telah pun dibersihkan pada bulan lalu bagi merealisasikan penanaman pokok buah-buahan asli tersebut.

Lokasi tersebut dikenal pasti sebagai ‘hutan rosak’ akibat pencerobohan haram dan ia telah disahkan oleh kerajaan sebagai kawasan penanaman semula untuk mana-mana organisasi atau badan-badan Pencinta Alam agar mengusahakan kembali kawasan yang terbiar ini.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Promosi Korporat dan Tanggungjawab Sosial syarikat, Siti Tan menjelaskan, pihaknya akan terus menjayakan program sedemikian untuk masa hadapan demi memperkayakan biodiversiti di kawasan hutan yang terbiar.

“Inisiatif ini diharapkan dapat mengurangkan kesan jejak karbon serta meningkatkan kesedaran kakitangan kami akan kepentingan memulihara alam sekitar.

“Kami juga akan terus mempromosikan perlindungan hutan dalam kalangan masyarakat awam agar bersama-sama memelihara landskap hutan agar tidak rosak,” terangnya.

Tambahnya, inisiatif tersebut tidak berhenti di situ sahaja, malah pihaknya akan meneruskan aktiviti sedemikian pada November ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI