PETALING JAYA – Kali terakhir berada di Kuala Lumpur pada 2018, kumpulan dari British, New Hope kali ini lagi berjaya memukau seramai 2,000 peminat Malaysia dengan persembahan showcase pertama mereka di Sunway Pyramid, baru-baru ini.
Mendendangkan lebih enam buah lagu terkini dan popular mereka, termasuk kesukaan ramai, Know Me Too Well, New Hope Club berjaya mengundang para peminat mereka untuk sama-sama menyanyi sambil memenuhi keseluruhan ruang legar pusat beli-belah tersebut.
“Tenaga mereka dan mendengar mereka menyanyi setiap bait lirik lagu kami membuat jelajah kami merentas Asia Tenggara menjadi satu detik indah sambil mengenang perjalanan kami sebagai sebuah kumpulan muzik.
“Dapat bertemu mereka secara langsung ataupun melihat karya mereka di media sosial sejujurnya adalah pembakar semangat kami untuk terus berkarya sebagai satu kumpulan. Kami benar-benar ingin melihat konsert kami habis tiket jualan di Malaysia satu hari nanti,” kata salah seorang ahli kumpulan mereka Reece Bibby, sambil ditemani rakan sekumpulan Blake Richardson dan George Smith.
Kumpulan tempatan popular Insomniacks membuka acara dengan tiga lagu hit mereka termasuk Sempurna. Kumpulan itu dipilih oleh label dunia New Hope Club untuk membuka persembahan mereka di Kuala Lumpur, sekaligus menjadi pembukaan pertama Insomniacks untuk artis antarabangsa yang melawat Malaysia.
Sebagai penutup persembahan, mereka dianugerahkan sebuah plak Platinum oleh Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim sebagai lambang buat lagu mereka Know Me Too Well bersama Danna Paola yang berjaya meraih rekod platinum di Malaysia.
“Saya sangat bangga dengan pencapaian mereka di Malaysia serta kagum melihat rasa sayang mereka buat peminat yang telah mereka paparkan sejak bertahun lamanya. Ia sangat menakjubkan untuk melihat begitu ramai yang hadir ke Sunway Pyramid, menyanyi setiap bait lirik lagu mereka selain menayangkan poster buat mereka.
“Membuat saya tak sabar untuk menonton lebih banyak persembahan anjuran Universal Music Malaysia.”, kata Kim Lim.
Dengan lebih 2.4 bilion penstriman hingga kini, kumpulan itu berjaya menghabiskan jualan tiket di seluruh dunia (termasuk Amerika Syarikat, Kanada, UK, Jerman, Perancis, Korea, Thailand, Jepun, Singapura dan Indonesia). Lagu hit mereka yang tukar dalam TikTok tahun lalu, Know Me Too Well meraih perhatian luar biasa di pasaran tempatan sehingga mereka mendapat pencapaian #1 platinum di Malaysia.
“Ini satu penghargaan yang besar buat kami, untuk melihat sokongan padu serta peningkatan peminat sejak pertama kali kami tiba empat tahun yang lalu. Kami akan terus mara dan harap akan kembali lagi.” kata mereka.
Pada Februari 2020, New Hope Club melancarkan album studio sulung mereka dan merancang jelajah seluruh dunia. Itu satu kejayaan besar dan bukti usaha keras mereka selama ini. – KOSMO! ONLINE