MELAKA – Kerajaan Persekutuan diharap dapat memberi kelonggaran pinjaman berkaitan pelancongan kepada pemain-pemain industri dalam Bajet 2023 yang akan dibentang pada bulan hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, ia penting bagi memboleh pemain-pemain industri pelancongan mengekalkan serta dapat memperkenalkan produk-produk baharu.
“Pelancongan adalah industri perkhidmatan yang melibatkan kepelbagaian aspek ekonomi sama ada mikro dan makro, kita mahu kali ini diberikan penekanan kepada pengekalan produk dan memperkenalkan produk baharu.
“Kita mohon kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk longgarkan sedikit pinjaman pelancongan kepada pemain industri,” katanya dalam sidang akhbar Festival Pengantin AEON 2023 di sini, semalam.
Tambahnya, antara cara yang dapat meringankan beban industri adalah memudahkan kelulusan pinjaman daripada bank pembangunan bagi produktiviti pengeluaran produk baharu.
Sementara itu, mengenai kemasukan pelancong pada musim cuti sekolah, Muhammad Jailani berkata, dianggarkan seramai 200,00 hingga 300,000 pelancong dijangka datang ke Melaka dalam tempoh 10 hari tersebut. -KOSMO! ONLINE