KOTA BHARU – Masalah bekalan air dan air keruh di Hospital Machang pulih secara berperingkat selepas Air Kelantan Sdn.Bhd. (AKSB) bertindak menghantar bekalan air ke hospital itu semalam.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, pihaknya telah membuat tindakan penambahbaikan dengan segera terhadap masalah air yang berlaku di Hospital Machang selepas kejadian itu tular di media sosial.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, hospital itu mengalami gangguan bekalan air pada tangki utama berkenaan sejak kelmarin yang berpunca daripada kerosakan Loji Rawatan Air di Sungai Bagan Machang.
“Sehubungan itu, AKSB menghantar bekalan air ke Hospital Machang bagi mengatasi masalah gangguan berkenaan dengan mengisi simpanan air di tangki simpanan utama hospital itu.
“Setakat ini, bekalan air sudah kembali pulih pada sebelah petang semalam secara berperingkat dan kadar kekeruhan air juga semakin pulih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Dr. Zaini, JKNK menegaskan bahawa perkhidmatan dan pengurusan pesakit di dalam hospital itu tidak terganggu akibat kejadian tersebut.
Katanya, pihaknya turut kesal atas kesulitan yang dihadapi dan berterima kasih atas tindakan segera yang diambil oleh pihak Hospital Machang, Perkhidmatan Sokongan Hospital dan AKSB yang mengambil tindakan segera bagi mengatasi gangguan air berkenaan.
Tambahnya, JKNK sentiasa berusaha dan mengambil langkah-langkah penambahbaikan bagi meningkatkan keselesaan dan kualiti penjagaan pesakit.
Terdahulu, tular di Facebook sejak semalam gambar keadaan air di dalam tandas sebuah wad Hospital Machang berkarat yang dikongsi oleh seorang wanita.
Wanita itu mendakwa kejadian air keruh itu berlaku di wad kanak-kanak hospital tersebut sehingga menyukarkan pesakit untuk membuang air kecil dan besar. – KOSMO! ONLINE