KUALA LUMPUR – Selepas tiga tahun berlangsung prosiding, pendakwaan menutup kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.
Dalam prosiding hari ini Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai barisan pasukan pendakwaan, memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan bahawa pihaknya menawarkan 18 saksi kepada peguam pembelaan.
“Kami dengan ini menutup kes pendakwaan dan menawarkan 18 saksi kepada pembelaan,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan pada 7 Oktober ini bagi kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis dan hujahan balasan pada 14 Oktober serta pendengaran hujahan pula ditetapkan pada 28 Oktober.
Antara saksi pembelaan yang ditawarkan pendakwaan ialah bekas pengerusi Jawatankuasa Kira Kira Wang Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad.
Perbicaraan kes pindaan laporan audit yang yang memakan masa selama 43 hari bermula pada 18 November 2019, telah mendengar keterangan seramai 16 saksi pendakwaan.
Antara saksi pendakwaan itu ialah bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa; bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan Tan Sri Dr. Madinah Mohamad; serta Shahrol Azral.
Mengikut pertuduhan Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB yang dimuktamadkan Ketua Audit Negara, sebelum laporan itu ‘sekali lagi dimuktamadkan’ dan dibentang di hadapan PAC bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadap beliau.
Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB. – KOSMO! ONLINE