KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, cek berjumlah RM118,485 telah didepositkan ke dalam akaun Public Bank atas nama sebuah syarikat kereta, Sutera Auto Sdn. Bhd.
Pengurus Perkhidmatan Perbankan, Seah Yeow Hwee, 59, berkata, wang dimasukkan ke dalam akaun Public Bank pada 27 Disember 2013 berdasarkan salinan penyata bank.
Pada prosiding sebelum ini, Eksekutif Akaun Sutera Auto Sdn. Bhd., Rozana Khalid memberitahu, Tan Sri Shahrir Ab. Samad membuat pembayaran penuh bagi pembelian sebuah kereta Honda Civic Hibrid bernilai RM118,485 menggunakan sekeping cek.
Dalam pernyataan pembukaan, pihak pendakwaan akan membuktikan bekas pengerusi Felda itu terlibat secara langsung dengan aktiviti pengubahan wang haram apabila memperoleh wang berjumlah RM1 juta daripada Datuk Seri Najib Tun Razak.
Wang RM1 juta itu kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank Public Islamic miliknya melalui cek bertarikh 27 November 2013.
Yeow Hwee yang juga Pengurus Perkhidmatan Perbankan Public Bank Berhad Cawangan Taman Sentosa, Johor Bahru berkata, cek didepositkan ke dalam akaun bank berdasarkan cop pada bahagian belakang cek.
Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes Shahrir yang juga bekas Ahli Parlimen Johor Bahru atas pertuduhan gagal mengisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) wang RM1 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri.
Sementara itu, Yeow Hwee yang telah berkhidmat di Public Bank Berhad selama 38 tahun, bersetuju dengan peguam Syahrul Syazwan Salehin yang mewakili Shahrir bahawa transaksi RM118,485 berlaku tanpa sebarang masalah.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd. ‘Afif Ali kemudian meminta saksi itu menjelaskan apa yang dimaksudkannya tentang tiada masalah dengan transaksi tersebut.
“Sebagai pegawai bank kita kena tahu nilai produk. Syarikat ini (Sutera Auto) adalah syarikat kereta, sebagai pegawai bank kita kena tahu harga kereta, walaupun kita bukan profesional.
“Kalau nilai kereta lebih RM100,000 sebuah, ia munasabah, kalau alih-alih harganya lebih tinggi, kami akan minta dokumen,” ujarnya.
Pada prosiding itu, seorang lagi peguam yang mewakili Shahrir, Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros memohon pihak pendakwaan menyediakan pernyataan saksi-saksi yang bakal dipanggil dan diserahkan kepada pihak pembelaan sebelum perbicaraan.
“Kami juga mohon agar lebih ramai saksi dapat dipanggil (pada hari perbicaraan) supaya proses (perbicaraan) dapat disegerakan,” katanya.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin kemudian berkata pihak pendakwaan perlu mengambil maklum perkara-perkara yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan.
Mohd ‘Afif bangun dan berkata pihaknya mengambil maklum perkara itu dan akan memanggil enam lagi saksi untuk memberi keterangan yang mana tiga daripadanya adalah saksi penting.
Perbicaraan bersambung lagi 3 Oktober ini. – KOSMO! ONLINE