BALING – Tujuh mangsa termasuk seorang yang terperangkap di atas timbunan pasir di tepi Sungai Kupang berjaya diselamatkan dalam kejadian banjir akibat limpahan sungai tersebut di Kampung Iboi pada petang tadi.
Lelaki terbabit dikatakan leka mengambil gambar keadaan banjir sebelum terperangkap apabila air naik secara mendadak.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, sebaik tiba di lokasi, anggota membuat pemantauan dan berusaha membawa mangsa keluar dari kawasan tersebut.
“Mangsa berusia lingkungan 40-an kemudian berjaya mencari jalan di sebelah belakang dan dapat keluar dengan selamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, pasukan penyelamat seterusnya bergerak ke Kampung Padang Empang, Kampung Dusun dan Kampung Bukit Iboi untuk kerja-kerja menyelamat enam mangsa lain.
“Mangsa terdiri daripada warga emas, orang kelainan upaya (OKU) serta sebuah keluarga terdiri berusia antara dua tahun hingga lingkungan 40-an,” ujarnya.
Menurutnya, kesemua mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Kampung Padang Empang.
Tambahnya, aliran sungai pada ketika ini semakin surut. – KOSMO! ONLINE