ISKANDAR PUTERI – Seorang pekerja warga asing ditemui maut tersepit dicelah kren dan penghadang besi di sebuah kilang di Taman Perindustrian Tanjung Pelepas di sini, semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa yang merupakan seorang warganegara Nepal, Das Chandan Kumar, 20, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Nazran Omar berkata, seramai 11 anggota dan sebuah jentera serta satu utiliti Hilux ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada 5.50 petang.
“Mangsa didapati tersepit di antara kren dan penghadang besi sewaktu anggota bomba tiba di lokasi kejadian.
“Anggota bertindak menggunakan peralatan khas berupa alat pemotong. Pemeriksaan dilakukan pegawai perubatan di lokasi kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk tujuan bedah siasat dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. -KOSMO! ONLINE