KAMPAR – Lapan individu termasuk tiga kanak-kanak cedera selepas terlibat dalam nahas membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 40.5, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di sini hari ini.
Kejadian sekitar pukul 12.30 tengah hari itu membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Viva dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, kejadian berlaku ketika kereta Toyota Alphard dipandu lelaki berusia 38 tahun itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Ipoh.
Katanya, sampai di tempat kejadian, kenderaan tersebut hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung kereta Perodua Viva dipandu lelaki berusia 42 tahun.
“Kemalangan tersebut menyebabkan pemandu MPV dan enam penumpang termasuk tiga kanak-kanak cedera ringan manakala pemandu Perodua Viva pula cedera pada tangan dan kaki.
“Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Kampar untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59),” katanya. – KOSMO! ONLINE