fbpx

Jaga sensitiviti keluarga mangsa pesawat MH370

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.
NUR HUDA MUSA,
WARTAWAN EKSEKUTIF

BARU-BARU ini kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 tiba-tiba hangat kembali selepas tular beberapa keping gambar yang didakwa kononnya merupakan antara mangsa-mangsa yang hilang bersama pesawat malang ber­kenaan.

Misteri kehilangan pesawat itu dirungkai semula oleh netizen sebaik sahaja seorang pengguna Facebook membuat pendedahan tentang pertemuan itu yang diperoleh daripada akaun Facebook milik AFN Diego Garcia.

Sejak itu, bertalu-talu hantaran dibuat oleh ‘pengkaji’ tidak bertauliah mengenai kehilangan pesawat terbabit yang hilang tanpa khabar berita sejak 8 Mac 2014.

Melalui perkongsian yang tular itu katanya, pesawat MH370 kini berada di tengah-tengah Lautan Hindi yang mana terdapat pulau kecil yang dikenali sebagai Diego Garcia.

Menurut pengguna Facebook itu, terdapat beberapa gambar individu yang didakwa menyerupai kru pesawat terbabit terma­suklah juruterbang MH370, Kap­ten Zaharie Ahmad Shah.

Seperti yang dijangka, netizen Malaysia dengan pantas telah melakukan ‘serangan’ di akaun Facebook AFN Diego Garcia dengan rata-ratanya menggesa pentadbir akaun itu me­ngaku bahawa individu-individu itu merupakan kru MH370 yang telah diculik dan diberikan ubat pelupa.

Hantaran tular itu juga memaksa anak kepada ketua pramugara MH370, Andrew Nari tampil menafikan bahawa gambar yang tular itu bukanlah ba­panya.

Susulan itu juga, sudah tentu pelbagai teori konspirasi dikongsi oleh orang ramai mengenai mang­sa nahas penerbangan MH370.

Bagi penulis, ia sangat keterla­luan dan tidak menjaga sensitiviti keluarga mangsa terlibat.

Sudah pasti, misteri kehila­ngan MH370 ini tidak akan dilupakan oleh semua rakyat Malaysia termasuk penulis sendiri. Kita semua mahukan jawapan di manakah kesemua 239 penum­pang dan anak kapal pesawat terbabit kini berada.

Bagaimanapun, bagi penulis, kita perlulah berhati-hati dalam ‘mengulas’ mengenai kehilangan pesawat itu.

Perlu diingatkan, kesemua mangsa mempunyai keluarga dan waris yang sudah pasti mahukan juga jawapan di manakah pesawat itu berada.

Mengulas mengenai perkara itu, Public Health Malaysia melalui satu hantaran berkata, tindakan orang ramai yang berkongsikan berita tersebut secara umum adalah tidak sensitif.

Katanya, selain dakwaan kru serta penumpang MH370 te­lah ‘dicuci otak’ oleh kerajaan, perkongsian secara terbuka juga dikecam penuh kerana MH370 memberi kesan bukan sahaja kepada keluarga, tetapi kepada semua rakyat Malaysia.

Justeru itu katanya, orang ramai dinasihatkan untuk menghantar hantaran berkenaan terus kepada pihak berkuasa.

“Keluarga MH370 mengalami kesedihan kehilangan keluarga mereka ketika kejadian dan ada yang masih mengalami kesan trauma sehingga kini.

“Hantarkan terus kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Biar pihak berkuasa yang menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya.

Untuk rekod, pesawat MH370 dilaporkan hilang ketika dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, China pada 8 Mac 2014.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI