JERANTUT – Kemusnahan habitat akibat penebangan hutan dipercayai menjadi punca seekor harimau belang yang menjadi spesies terancam dijumpai berkeliaran di atas jalan raya berhampiran Bukit Awan berdekatan Kampung Pagi, Ulu Tembeling di sini kelmarin.
Berdasarkan video berdurasi 30 saat tular yang dirakam Mohd. Izat Abd. Ghani, 34, memaparkan seekor Harimau Malaya berkeliaran di atas jalan raya menuju ke Kampung Pagi di Ulu Tembeling.
Mohd. Izat berkata, kejadian kira-kira pukul 9.30 malam semalam itu berlaku ketika dia dan dua lagi rakannya dalam perjalanan menaiki kereta dari Kampung Kuala Sat ke Kampung Pagi di sini.
Katanya, mereka yang dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing tidak menyangka bertemu harimau kerana sebelum ini hanya babi hutan, tenggiling dan gajah yang sering melintas.
“Apabila kereta kami menghampiri Bukit Awan, kira-kira enam kilometer dari Kampung Pagi tiba-tiba muncul seekor Harimau Malaya yang berlari di atas jalan raya.
“Kami terkejut seketika sambil melihat harimau belang ini mula melintas sambil menoleh ke arah cahaya lampu kereta kami dan kemudiannya menyusup di bawah besi penghadang kanan jalan lalu masuk ke dalam semak,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu rakannya, Ahmad Hafizee Mohamad, 45, berkata, peristiwa terserempak dengan Harimau Belang memang lumrah bagi penduduk Ulu Tembeling sejak dua dekad lalu kerana haiwan liar itu cuma tinggal di hutan pinggir berdekatan jalan raya Kampung Tuit ke Kampung Mat Daling dekat Ulu Tembeling.
Sementara itu penduduk Kampung Pagi, Mokhtar Abdullah, 32, berkata, penebangan hutan untuk pengeluaran kayu balak antara faktor habitat harimau liar dan haiwan lain terganggu serta musnah termasuk kawasan rayau mencari makanan. -KOSMO! ONLINE