fbpx

Dawid Mocke dan Danielle Mackenzie menang peringkat pertama POPIC 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dawid Mocke dinobatkan sebagai pemenang peringkat pertama POPIC 2022 di Pantai Hiburan Rompin di Rompin hari ini.

ROMPIN – Dawid Mocke yang merupakan juara dunia empat kali terus membuktikan kehebatannya apabila memenangi peringkat pertama kategori utama dalam Pahang Ocean Paddle International Challenge (POPIC) 2022 di sini hari ini.

Bersaing dalam kategori Open International Single Ocean Race yang menawarkan hadiah wang tunai RM15,000 untuk juara keseluruhan, jaguh dari Afrika Selatan itu menamatkan perlumbaan sejauh 14 kilometer di Pantai Hiburan di sini dengan masa satu jam 18 saat.

Perlumbaan peringkat pertama hari ini berlangsung dalam cuaca nyaman, dengan keadaan agak mendung dan kadangkala hujan renyai. Keadaan laut yang tenang juga membantu pelumba untuk mendayung laju, terutama Mocke yang mencatat kelajuan lima kilometer sejam.

Bagaimanapun, Mocke perlu berwaspada dengan peserta di belakangnya yang hanya berada kira-kira satu saat iaitu Jenkinson Kent dari Australia yang mencatat masa satu jam 19 saat diikuti rakan senegaranya yang juga bekas naib juara dunia bawah 23 MacKenzie Hynard dengan masa satu jam satu minit 37 saat.

Mocke berkata dia akan terus berusaha mengekalkan prestasi terbaik dalam perlumbaan peringkat seterusnya.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang menunjukkan kesungguhan dalam perlumbaan yang masih baharu bagi mereka.

“Sentiasa sahaja ada seorang Aussie (peserta dari Australia) yang menjadi pencabar kuat, apa yang boleh saya katakan ialah saya akan cuba memegang kedudukan pendahulu selama yang boleh,”katanya dalam sidang akhbar selepas perlumbaan.

Sementara itu juara dunia 2019 Danielle MacKenzie menepati jangkaan apabila menguasai acara wanita selepas menamatkan perlumbaan dengan masa satu jam enam minit dan 40 saat.

Jaguh dari New Zealand yang mencatat purata kelajuan dayungan 4.5 kilometer sejam, melintasi garisan penamat dengan berada 13 minit di hadapan pemenang tempat kedua Irin Neegree dari Thailand yang menghabiskan perlumbaan dalam masa satu jam 19 minit dan 10 saat.

Namun, peserta Malaysia Aimi Ayumi Azwan mencipta kejutan dalam acara utama ini apabila menduduki tempat ketiga dalam acara wanita dengan catatan masa satu jam 19 minit dan 24 saat.

MacKenzie berkata, seperti dalam perlawanan sebelum ini dia sentiasa mengekalkan kayuhan daripada awal dalam usaha mengejar kejuaraan.

“Inilah cara kami berlumba di Australia dan New Zealand, laju dari awal dan mengekalkan rentak. Cabaran hari ini ialah kehadiran angin dari hadapan tetapi secara keseluruhannya saya gembira untuk hari ini,”katanya.

Dalam pada itu Aimi Ayuni berkata, dia tidak menjangka untuk mencipta kejayaan yang dilihat sesuatu yang memberangsangkan bagi peserta negara hari ini.

“Ini kali pertama saya menyertai perlumbaan seperti ini jadi saya tidak meletakkan sebarang sasaran. Saya hanya mendayung tanpa memikirkan apa-apa tetapi apabila melihat saya sudah dekat dengan Irin saya jadi semakin bersemangat.

“Saya fikir kelebihan saya hari ini ialah kerana saya tidak berhenti untuk minum. Untuk perlumbaan esok, saya akan cuba meninggalkan Irin lebih awal supaya dia tidak boleh duckling atau mencuri ombak daripada saya,”katanya.

POPIC 2022, yang pertama kali dianjurkan di negara ini, akan berlangsung sebanyak lima peringkat yang mana Pantai Hiburan di sini menjadi lokasi peringkat pertama.

Peringkat kedua esok akan berlangsung di Pantai Legenda, Pekan manakala tiga peringkat terakhir bertempat di Kuantan melibatkan Pantai Balok, Pantai Cherating dan berakhir di Pantai Teluk Cempedak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI