fbpx

Bikin gamat, Konsert Midnight Havoc menuju selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KONSERT Midnight Havoc menampilkan barisan artis popular tanah air seperti K-Clique dan Noh Salleh.

BERTENAGA dan cukup meriah! Begitulah gambaran suasana sepanjang berlangsungnya Konsert Midnight Havoc yang diadakan di Dataran Karnival, Stadium Shah Alam, Selangor malam Ahad lalu.

Konsert yang dihadiri lebih 5,000 penonton tersebut membariskan enam penyanyi hebat iaitu Noh Salleh, K-Clique, Kugiran Masdo, Floor 88, Yonnyboii dan Zynakal.

Menurut Faizul Mohd. Yusof selaku penganjur, acara yang berlangsung sejak Jumaat hingga Ahad lalu berjaya menghimpunkan ratusan peniaga pelbagai jenis makanan dan minuman.

“Syukur acara ini berjaya mendapat sambutan dan kemuncaknya adalah Konsert Midnight Havoc. Sekitar lebih 5,000 orang membanjiri dataran. Terima kasih,” katanya.

Tambah Faizul, acara berkenaan tidak terhenti di Selangor sahaja apabila pihaknya akan mengadakannya di Johor Bahru, Johor pada 30 Disember depan sehingga 1 Januari 2023 bersempena sambutan Tahun Baru.

“Barisan artis yang akan membuat persembahan di Johor nanti masih dikekalkan iaitu Kugiran Masdo dan Floor 88 selain menampilkan Bunkface serta Naim Daniel,” katanya lagi.

YONNYBOII menjadi antara penyanyi yang menggamatkan penganjuran Konsert Midnight Havoc di Stadium Shah Alam, malam Ahad lalu.

Membuka gelanggang persembahan pada malam tersebut, Zynakal atau nama sebenarnya, Muhammad Raziq Rosli menghiburkan penonton dengan lagu-lagu popularnya seperti Terbang dan Perasaan.

Dia turut berduet bersama Yonnyboii menerusi lagu Sakit dan Cemburu. Yonnyboii kemudiannya menyambung momentum dengan mendendangkan lagu Salahku, Pelik dan Bayang.

Menyambung kehangatan malam tersebut, persembahan yang dinanti-nanti ramai, K-Clique menggamatkan suasana dengan lagu-lagu popular mereka iaitu Sah Itu Satu, Merais, Kittamove dan Mimpi.

Meskipun tanpa kehadiran salah seorang penyanyi utama iaitu Tuju, K-Clique tetap berjaya membuatkan para penonton seperti dipukau dengan nyanyian hebat mereka.

Paling membuatkan orang ramai seperti diserang histeria apabila mereka membuat kejutan turun dari pentas dan menyanyi di tempat duduk penonton.

Salah seorang ahlinya, MK bikin ‘havoc’ apabila memanjat dan berdiri di atas pagar ketika persembahan Mimpi.

“Terima kasih kepada yang membeli tiket menyaksikan persembahan kami dan artis lain. Ternyata anda semua merupakan penonton yang havoc (meriah),” laung Noki.

Berdiri solo

Menghangatkan lagi konsert yang berlangsung sekitar tiga jam tersebut, vokalis Hujan, Noh Salleh muncul seorang diri tanpa kehadiran ahli kumpulannya yang lain.

Menerusi persembahan solo, dia menghiburkan peminat dengan lagu-lagu popular Hujan seperti Dugaannya, Aku Skandal dan Kotak Hati sebelum mengakhirinya dengan Angin Kencang.

“Terima kasih kerana membuat saya sebagai Noh Salleh atau Noh Hujan rasa berpijak di bumi yang rata sama ada berani atau tidak membuat persembahan seorang diri tanpa Hujan.

“Sokongan anda buat saya rasa lebih bersemangat. Saya pulang dengan memori yang hebat, terima kasih banyak,” katanya sebelum disahut sorakan penonton.

Persembahan Floor 88 disambung dengan lagu Pelesit Kota nyanyian asal kumpulan Search.

VOKALIS Floor 88, Ayie mesra melayan lebih 5,000 penonton yang hadir.

Kumpulan dianggotai enam orang jejaka itu menghiburkan peminat dengan lagu Hukum Karma, Biarlah, Zalikha dan Hutang.

Ternyata kelincahan Ayie menghidupkan suasana dan memberi nyawa untuk kelangsungan perjalanan konsert tersebut.

Mengambil alih tugas sebagai persembahan penutup, kemunculan Kugiran Masdo yang dibarisi Ali Sariah, Putu Ceri, Mawi dan Azham di atas pentas membuatkan penonton tidak berhenti menari dan melompat.

Memulakan persembahan dengan lagu Dewi Puspita, Masdo berjaya membawa penonton kembali ke era 1960-an.

Masdo berjaya melunaskan tugas dengan cemerlang menerusi seleksi lagu popular, Janji Manis, Dinda, Kasih dan Sayang serta Bercanda Di Malam Indah.

Boleh dikonklusikan, Konsert Havoc Midnight berjaya mengubat rasa rindu orang ramai bagi menghadiri acara hiburan dengan barisan penyanyi hebat di kawasan terbuka selepas lama terkurung akibat pandemik Covid-19 sejak 2020.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI