TAIPEI – Tentera Taiwan membekalkan senjata antidron ke gugusan pulau luar yang terletak di pesisir pantai Kinmen dan Matsu, susulan beberapa pencerobohan pesawat tanpa pemandu atau UAV yang didakwa datang dari tanah besar China, lapor laman berita RT kelmarin.
Kinmen dan Matsu adalah kumpulan pulau kecil di Selat Taiwan yang dikawal oleh Taipei, namun terletak lebih dekat dengan garis pantai China.
Tentera Taiwan berkata, senjata antidron telah dibekalkan kepada anggota bertugas di kawasan berkenaan sebagai sebahagian daripada pendekatan fleksibel untuk menangani ancaman akan datang.
Peranti itu menyekat frekuensi yang digunakan oleh stesen bumi yang bersambung dengan UAV, seterusnya menyebabkan pesawat itu berputar di luar kawalan lalu terhempas.
Taiwan telah melaporkan beberapa pencerobohan oleh dron minggu ini dan menuduh China menghantarnya untuk menggugat keamanan dan kestabilan wilayah tersebut.
Pada Khamis lalu, sebuah UAV ditembak jatuh berhampiran pulau Kinmen selepas ia tidak mengendahkan amaran beredar yang dikeluarkan tentera Taiwan. – Agensi