OTTAWA – Seorang daripada dua suspek yang diburu polis Kanada kerana didakwa menikam 10 penduduk sehingga maut dalam kejadian di wilayah Saskatchewan kelmarin ditemui mati, lapor agensi berita United press International (UPI).
Damien Sanderson, 31, ditemui dengan kesan luka yang kelihatan tidak dilakukannya sendiri, demikian kenyataan Penolong Komisioner Polis Diraja Kanada, Rhonda Blackmore.
“Mayatnya ditemui di luar sebuah bangunan di kawasan berumput tebal berdekatan dengan sebuah rumah yang sedang disiasat polis,” jelas Blackmore.
Suspek kedua, Myles Sanderson, 30, bagaimanapun masih bebas dan berdepan tiga pertuduhan pembunuhan selepas kejadian tikam pada Ahad lalu di beberapa lokasi termasuk komuniti Orang Asli terpencil, James Smith Cree Nation. Dia dianggap sebagai bersenjata dan berbahaya.
“Myles Sanderson, adik lelaki kepada Damien mungkin mengalami kecederaan. Ia belum disahkan. Kami mahu orang ramai mengetahui perkara ini kerana ada kemungkinan suspek akan mendapatkan rawatan perubatan,” katanya.
Myles sebelum ini menjalani hukuman persekutuan selama hampir lima tahun kerana menyerang dan merompak. Dia mendapat pelepasan berkanun sebelum kemudiannya menghilangkan diri.
“Pada peringkat ini dalam siasatan, kami percaya beberapa mangsa telah menjadi sasaran suspek dan yang lain telah diserang secara rambang,” kata Blackmore.
Suspek kali terakhir dilihat memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan Rogue berwarna hitam di bandar Regina. Bagaimanapun, polis tidak pasti jika Myles masih memandu kenderaan tersebut dan lokasi yang dituju. – Agensi