JAKARTA – Peserta acara demonstrasi besar-besaran daripada beberapa persatuan pekerja membanjiri bahagian hadapan kompleks Parlimen di Indonesia bagi menentang kenaikan harga bahan bakar minyak (BBM), lapor stesen penyiaran CNN Indonesia.
Orang ramai mula memenuhi kawasan hadapan pintu pagar utama kompleks tersebut pada pukul 11 pagi (waktu tempatan).
Sebahagian besar peserta adalah daripada Kesatuan Sekerja Indonesia (KSPI) dan Parti Buruh serta beberapa organisasi lain di bawahnya.
Peserta membawa sejumlah sepanduk memaparkan bantahan mereka terhadap keputusan pemerintah untuk menaikkan harga bahan api pada Sabtu lalu.
Mereka menyifatkan tindakan pemerintah menaikkan harga bahan api bersubsidi sebagai terlalu memaksa dan hanya menyusahkan rakyat.
Sementara itu, polis turut bersiap-sedia dengan berpuluh-puluh kenderaan taktikal di halaman dan belakang pintu utama kompleks Parlimen selain turut memasang kawat berduri di sepanjang pagar ke pintu besar.
Demonstrasi tersebut turut menyebabkan kesesakan aliran trafik di beberapa jalan sekitar kompleks Parlimen.
Presiden KSPI dan Presiden Parti Buruh, Said Iqbal sebelum ini berkata, demonstrasi di hadapan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan beberapa lokasi di Jabodetabek akan dihadiri 3,000 hingga 5,000 peserta.
Pihaknya menuntut DPR membentuk jawatankuasa kerja atau jawatankuasa khas BBM supaya harga diturunkan. – AGENSI