KUALA LUMPUR – Pelakon popular Sharifah Sakinah menafikan dakwaan sudah berhijrah mengikut suaminya, Michael Hansen menetap di Sweden selepas mendirikan rumah tangga.
Menurut Sakinah, 33, dia tidak pernah membuat kenyataan berpindah ke sana sebelum ini dan hanya berulang-alik untuk bertemu suaminya.
“Memang saya tenang di sana tetapi tiada istilah saya terus menetap di Sweden. Sebelum ini saya cuma cakap pergi sekejap dan berulang-alik.
“Saya bukan jenis kacang lupakan kulit. Kehidupan saya kini tenang walaupun perlu berulang-alik begini,” katanya kepada Kosmo! Online di sini semalam.
Dia yang temui pada majlis tayangan perdana filem Hantu vs Cikgu semalam berkata, episod ulang-alik antara Malaysia-Sweden akan berterusan sehinggalah anaknya melajutkan pelajaran ke peringkat universiti.
Ujar pemilik nama penuh Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired itu, pengorbanan tersebut dilakukannya dengan suami demi kepentingan anak-anak yang sedang membesar.
“Pada awalnya kami lakukan dalam tempoh empat bulan tetapi lama-kelamaan menjadi dua minggu kerana anak sudah mula bertabya bila saya akan pulang ke Malaysia.
“Beginilah kehidupan kami, tidak tahu sampai bila sebab semuanya kerana pentingkan anak-anak.
“Mungkin sehingga anak-anak sudah besar dan masuk ke universiti kemudian barulah boleh duduk di bawah satu bumbung,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dia yang popular menerusi drama Girlfriend Aku Dari Neraka itu tidak menafikan penat dengan rutin ulang-alik tersebut.
“Saya akui, memang sangat penat. Kos yang tinggi juga satu hal kemudian jet lag (mabuk altitud) pula ambil masa seminggu untuk pulih.
“Kemudian lagi penat dan sedih apabila ketika saya di sana, mendengar khabar duka ada kenalan meninggal dunia.
“Perkara itu yang paling tidak suka ketika ke luar negara,” ujarnya.
Dia sebelum ini membuat kejutan mengumumkan sudah bernikah dengan Michael namun enggan mendedahkan secara terperinci kerana faktor peribadi dan isu agama.
Terdahulu, Sakinah pernah mendirikan rumah tangga dengan Aliff Adha Jamil sekitar tahun 2015 sebelum bercerai pada Julai 2020.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seornag anak perempuan Anais Adha kini berusia lima tahun. – KOSMO! ONLINE