IPOH – Perak merupakan negeri yang pertama memberi lesen percuma lesen L yang berumur 18 tahun ke atas khususnya buat kelompok anak muda, golongan kurang berkemampuan (B40) termasuk orang kelainan upaya (OKU).
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Awam, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, seramai 600 peserta dari seluruh Perak berumur 18 tahun ke atas terdiri dariapada pelbagai bangsa telah diberikan lesen kelas L secara percuma.
“Perak merupakan negeri pertama yang memberi lesen percuma setelah mereka disahkan layak oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Pada hari ini seramai 600 orang peserta menerima lesen dan bakinya 1,571 orang pada akhir September atau awal Oktober setelah berjaya lulus dalam ujian bertulis nanti,” katanya pada sidang akhbar di Majlis Penyerahan Lesen Motosikal Perak Sejahtera di Dewan Orang Asli One Stop Centre (OAOSC) Kampung Bawong di sini hari ini.
Menurutnya Mohd. Zolkafly, program itu melibatkan beberapa buah daerah serta pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) di sana.
“Lebih kurang 23 DUN yang dapat kita berikan kepada mereka dan jika diikutkan tak cukup tetapi berdasarkan kelulusan setengah juta ringgit yang diluluskan di bawah program Rangsangan Ekonomi Perak Sejahtera, maka seramai 1,571 orang yang layak dipilih untuk menerima lesen L ini,” katanya.
Mengulas lanjut perkara itu, beliau berkata, program tersebut bergantung kepada peruntukan dan berkemungkinan akan diteruskan.
“Insha-Allah, kita akan kemukakan kepada kerajaan negeri ke dalam Bajet 2023 kelak. Kita akan cadangkan program ini untuk diteruskan lesen percuma khususnya kepada anak muda supaya tiada anak muda yang tidak memiliki lesen. Mereka bukan sahaja boleh bekerja malah boleh menjalankan perniagaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE