fbpx

Penculik minta ‘wang tebusan’ RM6,000 jika mahu kucing selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar poster kehilangan kucing dan perbualan antara penculik dan pengadu di laman WhatsApp.

PETALING JAYA – Malang menimpa seorang lelaki apabila dia bukan sahaja kehilangan seekor kucing kerana diculik, malah dia turut diugut supaya menyediakan wang tebusan sekiranya mahu haiwan itu selamat.

Menerusi satu perkongsian di laman Facebook Persatuan Haiwan Malaysia, kejadian itu berlaku di sebuah kawasan di Taman Kwan Ming, Kuching, Sarawak apabila kucing tersebut dilaporkan hilang pada 1 September lalu.

Menurut pengadu, dia kemudiannya menerima pesanan menerusi aplikasi WhatsApp pada 3 September dari seorang individu tidak dikenali mengaku menculik haiwan terbabit dengan menyertakan gambar dan video kucing miliknya.

Pada masa sama, penculik meminta ‘wang tebusan’ berjumlah RM6,000 jika mahu haiwan itu selamat.

“Penculik mengugut pemilik untuk melemparkan kucing ke dalam sungai berdekatan jika pemilik gagal membuat bayaran wang tebusan.

“Penculik juga telah memberi amaran kepada pemilik supaya hadir membawa wang yang diminta seorang diri dan tidak membuat tindakan yang boleh menimbulkan kemarahan penculik,” tulis Animal Malaysia di laman Facebooknya.

Susulan kejadian itu kata Animal Malaysia, pemilik kucing telah membuat satu laporan polis sehari selepas ugutan diterima di Balai Polis Sekama, Kuching, Sarawak.

Sementara itu, Presiden Animal Malaysia, Arie Dwi Andika berkata, kes itu merupakan jenayah penculikan melibatkan kucing dan tebusan ribuan ringgit yang pertama di Malaysia.

Katanya, Animal Malaysia melahirkan rasa bimbang jika jenayah penculikan haiwan bakal berleluasa jika tiada tindakan tegas diambil pihak berkuasa.

“Animal Malaysia merayu supaya PDRM Sarawak memandang serius kes ini dan mengambil tindakan segera supaya tertangkapnya penculik kucing yang mengugut melemparkan kucing ke dalam sungai bahaya di Kuching, Sarawak.

“Jenayah penculikan kucing juga perlu diberi perhatian serius dan perlu dianggap janayah berat memandangkan ia melibatkan nyawa, wang, emosi pemilik dan keselamatan jangka panjang semua pihak,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI