PUTRAJAYA – Gerakan Tanah Air (GTA) memperkenalkan logo obor dengan api menyala sebagai lambang gabungan empat parti itu untuk Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Menurut Ketua Setiausahanya, Datuk Marzuki Yahya, logo berkenaan sudah dipersetujui jawatankuasa penaja GTA bagi digunakan semasa kempen PRU-15 kelak di seluruh negara.
“Ini bukan imej keris tetapi bentuk obor dengan ada api di atasnya menyala marak sebagai simbol GTA membawa cahaya kepada seluruh rakyat,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau bersama-sama jawatankuasa penajanya menyerahkan permohonan GTA yang ditubuhkan 4 Ogos lalu di ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) di sini.
Mengulas lanjut, Marzuki yang juga Timbalan Presiden Pejuang berkata, logo itu belum pun pernah digunakan mana-mana parti termasuk calon bebas dalam pilihan raya di negara ini.
“Alhamdulillah, respons dalam pertemuan dengan Ketua Pengarah RoS, Mohd. Nawardi Saad juga amat baik dan beri jaminan proses kelulusan dijangka dalam tempoh 30 hari,” katanya.
Beliau turut membaca perutusan khas Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tidak dapat hadir kerana masih dikuarantin susulan jangkitan Covid-19 pada minggu lalu.
Bekas perdana menteri itu mendakwa bahawa tindakan mereka mendaftarkan GTA sebagai gabungan politik adalah bagi melayakkan blok tersebut dapat bertanding sah pada PRU-15.
Langkah itu perlu dilakukan berdasarkan peruntukan undang-undang meskipun GTA ujarnya, merupakan gerakan rakyat dengan gabungan empat parti siasah berteraskan Melayu Islam.
Justeru, tokoh veteran berusia 97 tahun itu berhasrat untuk memastikan GTA dapat menang pada PRU15 agar dapat membetulkan agenda politik semasa yang didakwa penuh korupsi. – KOSMO! ONLINE