TANPA memberitahu sebab terperinci, agensi Blockberry Creative memaklumkan bahawa Choerry tidak dapat mengambil bahagian dalam penganjuran konsert jelajah LOONA.
Kumpulan itu sepatutnya menjalankan jelajah LOONA 1st WORLD TOUR (LOONATHEWORLD) di Eropah bermula hari ini.
Agensi itu bagaimanapun memberitahu, punca ketidakhadiran Choerry untuk konsert jelajah pertama kumpulannya disebabkan masalah kesihatan.
“Atas sebab masalah kesihatan, Choerry tidak dapat menyertai LOONA 1st WORLD TOUR (LOONATHEWORLD).
“Buat masa ini, dia sedang fokus terhadap penyembuhan dan mengambil waktu rehat seperti dinasihatkan doktor,” katanya.
Biarpun begitu, ada peminat tidak berpuas hati kerana mereka mendakwa, masalah dialami Choerry disebabkan jadual LOONA terlalu padat.
Sebelum ini, beberapa orang anggota kumpulan itu mengalami kecederaan dan masalah kesihatan lain kerana terlalu penat bekerja.