fbpx

Ibu tunggal terlantar selepas hilang tempurung kepala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hanisah (kanan) kini bergantung hidup dengan ibunya, Azizah (kiri) selepas terlantar di rumahnya di Kampung Dato Seri Kamaruddin, Manjung.

MANJUNG – Seorang ibu tunggal kini hanya mampu terlantar selepas terlibat dalam kemalangan apabila motosikal yang ditungganginya me­langgar sebuah ke­reta yang memasuki simpang secara tiba-tiba pada Januari lalu.

Ekoran kemalangan itu, Hanisah Mohamad, 34, terpaksa menjalani pembedahan membuang beberapa bahagian di tempurung kepalanya.

Menurut abangnya, Kamal, 39, kemalangan itu menyebabkan Hanisah mengalami pendarahan otak dan kecederaan di beberapa lagi anggota badan seperti mata, jari serta pinggul.

“Sejak dibawa pulang dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh setelah kira-kira dua bulan menjalani rawatan di sana, Hanisah bergantung hidup sepenuh­nya dengan kami.

“Dia tidak mampu berbuat apa-apa. Selain saya, turut menjaganya ialah ibu, Azizah Hussin, 62; ibu saudaranya, Rokiah, 54, dan dua anaknya berusia 12 dan 10 tahun,” katanya kepada ­Kosmo! di sini kelmarin.

Menurut Kamal, mereka sekeluarga reda dengan nasib yang dialami Hanisah dan berusaha sedaya-upaya untuk menjaganya di kediamannya di Kampung Dato Seri Kamaruddin di sini.

Bagaimanapun, katanya, terdapat beberapa cabaran yang dihadapi mereka dalam menjaga Hanisah, antaranya memastikan supaya dia tidak berasa panas kerana suhu terlalu tinggi akan menyebabkannya mudah dise­rang sawan.

“Setakat ini boleh dikatakan antara lima hingga enam kali sebulan dia diserang sawan.

“Memang kami tidak boleh meninggalkannya terlalu lama,” ujarnya.

Menurut Kamal, Hanisah be­kerja sebagai penjual sate ikan sebelum kemalangan dan dia menggunakan pendapatannya itu untuk menyara keluarga.

“Walaupun kehila­ngan sumber pendapatan, masih ada pihak yang tampil membantu meringankan bebannya seperti Baitulmal dan penduduk.

“Ini kerana, perbelanjaan sebulan bagi menjaga Hanisah mencecah RM1,000 sebulan. Antara barang keperluannya termasuk susu, lampin selain kos rawatan menukar tiub,” katanya.

Rakannya yang juga pembonceng ketika kemalangan tersebut, Nurhasniza Husin, 39, berkata, insiden itu berlaku apabila pemandu sebuah kereta memasuki simpang secara tiba-tiba.

“Saya masih ingat dengan jelas keadaan Hanisah selepas kami melambung setelah dirempuh. Darah mengalir laju dari telinga­nya dan sejak itu, keadaan sudah tidak sama lagi,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan bantuan boleh menghubungi Kamal di talian 012-348 9083 atau disalurkan terus ke dalam akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Azizah di 03112-29-00003202-3.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI